Berita Utama

Kes baharu kekal dua angka, 70 sembuh, 1 kematian

31 daripada 40 kes adalah bukan warganegara

PUTRAJAYA, 21 Ramadan 1441H, Khamis – Kes positif COVID-19 hari ini mencatat 40 kes baharu, mengekalkan angka antara yang terendah direkodkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu itu, 31 kes adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia dan tiada kes import dilaporkan.

“Oleh itu, jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,819 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,356 kes,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini, 16 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sebanyak 70 kes sembuh dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 5,351 kes atau 78.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Satu kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia sebanyak 112 kes. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button