Berita Utama

Madrasah di Solok Duku kluster baharu COVID-19

107 pelajar, guru dan ahli keluarga sudah disaring

BANGI, 21 Ramadan 1441H, Khamis – Kementerian Kesihatan mengenal pasti satu lagi kluster baharu membabitkan sebuah madrasah di Solok Duku, Masjid Tanah, Melaka.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini seramai 107 pelajar, guru dan ahli keluarga sudah disaring.

“Dua kes positif COVID-19 di kalangan 35 orang pelajar, tiada kes positif di kalangan 10 orang guru dan kakitangan madrasah,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Sehingga 14 Mei 2020 katanya, terdapat sebanyak enam buah kluster COVID-19 yang membabitkan madrasah tahfiz.

Lima lagi kluster adalah madrasah di Sungai Salan, Pahang (84 kes); madrasah di Sungai Lui, Selangor (172 kes); madrasah di Air Merbau, Melaka (41) dan masing-masing enam kes di madrasah di Lancang, Pahang serta di Penanti, Pulau Pinang.

Hingga kini, seramai 19,209 orang pelajar, guru dan kakitangan sudah dikenal pasti daripada sebanyak 370 buah madrasah dan pusat tahfiz di seluruh Malaysia.

Noor Hisham berkata, daripada jumlah keseluruhan ini, 12,384 sampel telah diuji, iaitu 64.5 peratus dan keputusannya adalah 635 kes positif COVID-19, manakala 10,755 kes lagi negatif dan masih menunggu keputusan (994 kes).

“Susulan penularan kes COVID-19 dalam kalangan peserta perhimpunan di Seri Petaling, KKM sudah menjalankan pengesanan kes secara aktif dan pendekatan tertumpu kepada madrasah tahfiz.

“Ia membabitkan saringan dan persampelan pelajar, guru dan kakitangan dari madrasah, tahfiz, sekolah pondok dan kontak rapat mereka yang berkait rapat dengan perhimpunan berkenaan,” katanya.

Noor Hisham berkata, hampir 85 peratus daripada 635 kes positif dalam kalangan madrasah tahfiz dikesan terdiri daripada mereka yang tidak bergejala, seterusnya menimbulkan kebimbangan kumpulan berkenaan berkemungkinan menjangkiti ahli keluarga dan rakan tanpa disedari.

“Yang begejala hanya 96 atau 15.1 peratus. Kalau tidak ada gejala, mereka ingatkan mereka sihat, tetapi mereka mungkin akan menjangkiti rakan di kampung atau membawa virus itu serta menjangkiti keluarga, terutamanya yang kita bimbang warga emas, ibu bapa atau datuk dan nenek mereka,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button