Berita Utama

Monsun Barat Daya dijangka mula 18 Mei hingga September

Pembentukan awan hasilkan hujan akan berkurangan: MetMalaysia

BANGI, 21 Ramadan 1441H, Khamis – Malaysia akan menghadapi permulaan Monsun Barat Daya yang dijangka pada 18 Mei ini dan berterusan sehingga pertengahan September.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, ketika monsun berkenaan, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil.

Katanya, keadaan itu akan menyebabkan kurangnya pembentukan awan yang menghasilkan hujan dalam tempoh berkenaan.

“Sepanjang tempoh Monsun Barat Daya, kejadian ribut petir dan hujan lebat dijangka berkurangan dan kebanyakan negeri akan mengalami lebih banyak bilangan hari tanpa hujan.

“Taburan hujan di kebanyakan negeri dijangka berada pada paras purata kecuali negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Utara Perak akan menerima hujan sedikit melebihi purata pada bulan Ogos dan September,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi kawasan barat dan pedalaman Sarawak dijangka menerima hujan sedikit melebihi purata pada bulan Mei dan Jun, sementara Sabah pula pada September serta Oktober.

Katanya, keadaan itu akan menyebabkan cuaca agak kering serta kebakaran hutan serta jerebu di sesetengah tempat.

“Jerebu tempatan atau merentas sempadan boleh berlaku sekiranya terdapat pembakaran terbuka yang tidak terkawal terutamanya pada bulan Ogos dan awal September.

“Selain itu, fenomena garis badai yang membawa hujan lebat dan angin kencang boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah pada awal pagi,” katanya.

Beliau berkata, garis badai adalah garisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam.

“Orang ramai disaran supaya mengurangkan aktiviti luar, mengelakkan daripada melakukan pembakaran terbuka, minum air yang banyak dan memakai topeng muka yang bersesuaian sekiranya berjerebu.

“Maklumat ramalan cuaca terkini boleh diperoleh melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, media sosial, RakanMET dan Hotline Jabatan Meteorologi Malaysia,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close