Berita Utama

Nizam Mydin Setiausaha Dewan Rakyat baharu

Ambil alih tugas Riduan Rahmat, berkuat kuasa 13 Mei

BANGI, 21 Ramadan 1441H, Khamis – Nizam Mydin Bacha Mydin dilantik sebagai Setiausaha Dewan Rakyat yang baharu berkuat kuasa 13 Mei 2020.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof berkata, pelantikan baharu itu bagi menggantikan Riduan Rahmat yang akan bertukar tugas sebagai Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Dewan Negara.

“Bagi pihak kerajaan dan Parlimen, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Encik Riduan Rahmat atas segala khidmat dan sumbangan sepanjang tempoh memegang jawatan sebagai Setiausaha Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia Yang ke-13 sejak 22 Februari 2020 yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Berasal dari Selangor, Nizam adalah graduan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Undang-undang dari Universiti Monash, Australia.

Ketika ini beliau sedang mengikuti pengajian PhD Undang-undang pengkhususan dalam bidang Parlimen di Fakulti Undang-undang di Universiti Malaya.

Beliau juga telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri pada 29 Ogos 2005.

Sebelum itu, beliau pernah berkhidmat sebagai Peguambela, Peguamcara dan Peguam Sharie selama tiga tahun.

Jawatan terakhir beliau sebelum pelantikan baharu itu ialah Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Hal Ehwal Perlembagaan dan Parlimen, Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close