Berita Utama

‘Patut perang ahli maksiat, bukan terancam dengan NGO Islam’

Pernah tiga kali ditangkap, dipenjara kerana cegah kemungkaran

BANGI, 21 Ramadan 1441H, Khamis – Tugas amal makruf pun’dihentam’ pihak tertentu, apatah lagi kerja mencegah kemungkaran yang menganggu privasi dan perniagaan orang lain, kata Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID), Ustaz Masridzi Sat.

Beliau yang sudah hampir 30 tahun membanteras aktiviti haram mengakui tidak ramai yang berani berada dalam lapangan mencegah kemungkaran kerana berdepan pelbagai cabaran serta polemik.

Katanya, kerja mencegah mungkar bukanlah tugas baharunya bahkan telah aktif sejak tahun 1990-an lagi, terutama dalam membanteras aktiviti gangsterisme dan gerakan Evengelis Zionis yang memurtadkan orang Islam.

“Tanyalah rekod JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor), kita dah berentak dulu cegah mungkar dan ia bukan perkara baru. Kemudian tahun 2000, kita gerakkan kajian konsert malam tahun baru yang ditaja oleh syarikat arak.

“Kita masuk tempat itu, semua – kebanyakan orang Islam – mabuk dan menari dalam keadaan separuh bogel. Daripada situlah saya menjadi benar-benar terancam dan usaha ini tidak boleh biarkan hanya kepada pihak berkuasa sahaja,” katanya dalam Siaran Langsung di Facebook Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), semalam.

Beliau yang juga Naib Pengerusi PEMBELA memberitahu, pernah berpengalaman sebanyak tiga kali ditangkap dan dipenjara kerana tugas berkenaan.

“Tahun 2005 saya tegur anak muda minum arak di sekitar masjid KLCC, dan akhirnya saya ditangkap polis IPK dan tidur dalam lokap Dang Wangi.

“Apabila berlaku aktiviti seperti ini, seolah-olah kita tidak melihat kebangkitan daripada penguatkuasa, walaupun ada tetapi mereka tidak dapat bertindak tegas untuk menghapus aktiviti tidak bermoral ini,” katanya.

Ustaz Masridzi berkata, bukan hanya berdepan cabaran ditangkap, beliau bahkan dimusuhi oleh penguatkuasa agama yang didakwa mula berasa terancam.

“Kita aktif selepas 2006 dan waktu itu kita melihat pihak berkuasa mula terancam. Pihak yang pada waktu itu merasakan kita bersaing dengan mereka, dan akhirnya kita bukan berperang dengan ahli maksiat tetapi sesama pihak JAWI, JAIS dan mereka yang sepatutnya menjadi rakan kita.

“Tetapi, kita pula dimusuhi kerana operasi-operasi kita selalu keluar di surat khabar. NGO sepatutnya bekerjasama dengan kerajaan, tetapi jika tiada perkara itu, akhirnya kita jadi satu saingan dan dipandang buruk pula. Ini tak patut berlaku dalam usaha mencegah maksiat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button