Berita Utama

Pelacuran: 5 warga asing ditahan

Sindiket guna WhatsApp, WeChat sebagai saluran langgan pelacur

KUALA LUMPUR, 21 Ramadan 1441H, Khamis – Lima wanita warga asing yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pelacuran ditahan di sebuah hotel di Persiaran Kewajipan, USJ 1, Subang Jaya.

Kesemua mereka berusia antara 24 hingga 35 tahun ditahan kira-kira 4 petang tadi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menerusi Ops Noda, susulan maklumat dan risikan.

Pegawai Turus D7 IPK Selangor DSP Azmi Shukor berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada tiga wanita warga China, seorang dari Mongolia dan seorang warga Kazakhstan.

“Hasil siasatan awal mendapati mereka menjalankan kegiatan tidak bermoral itu dengan menawarkan harga RM330 hingga RM350 untuk layanan selama 45 minit dan RM2,000 bagi semalaman,” katanya kepada Bernama.

Azmi berkata, pihaknya turut merampas pelbagai barangan seperti telefon bimbit, kondom serta wang tunai.

Beliau berkata, pihak polis percaya kegiatan ini didalangi seorang lelaki tempatan yang aktif menjalankan kegiatan itu di sekitar Subang Jaya sejak sebulan lalu.

Katanya, sindiket itu juga dikatakan menyewa bilik-bilik di hotel terbabit untuk dijadikan sarang pelacuran.

“WhatsApp dan WeChat digunakan sebagai saluran oleh sindiket ini bagi pelanggan untuk melanggan pelacur wanita warga asing dan bayaran wang tunai akan dibuat semasa di bilik hotel,” katanya.

Azmi berkata kesemua tangkapan dibawa ke Balai Polis USJ8 untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 372(b) Kanun Keseksaan. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close