Berita Utama

Sabah cari kaedah bantu pengusaha pengangkutan awam

Nasihat syarikat penerbangan buka lebih banyak laluan domestik

KOTA KINABALU, 21 Ramadan 1441H, Khamis – Kerajaan Sabah akan mencari kaedah komprehensif bagi membolehkan pengusaha pengangkutan awam di negeri ini beroperasi dengan baik serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, ini berikutan terdapat keluhan mengenai kos operasi yang tidak menguntungkan daripada pengusaha pengangkutan awam terutama bas memandangkan bilangan penumpang dihadkan untuk setiap laluan perjalanan.

Beliau berkata, kerajaan negeri memahami situasi itu, namun, setiap pengusaha perkhidmatan pengangkutan awam sama ada darat, udara dan laut perlu mematuhi SOP iaitu hanya menggunakan 50 peratus ruangan tempat duduk sebagai langkah membendung penularan jangkitan COVID-19.

“Saya tahu ada pihak (pengusaha bas) mengadu. Kadang-kadang bas contohnya dari Kota Kinabalu ke Menumbok atau Kuala Penyu, kalau hanya memuatkan separuh (daripada ruangan tempat duduk bas) mungkin mereka tidak boleh menampung kos minyak.

“Justeru, kerajaan negeri akan mencari jalan untuk membantu mereka, dan dengan mengoperasikan (semula) perkhidmatan bas (sekurang-kurangnya) pengusaha boleh memperoleh pendapatan (walaupun tidak seperti biasa),” katanya pemberita selepas majlis penyerahan kuih-muih Aidilfitri kepada pasukan keselamatan di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri juga telah menasihatkan syarikat penerbangan untuk membuka lebih banyak laluan domestik sepanjang PKPB bagi membolehkan mereka menampung kos operasi, meskipun hasil pendapatan diperoleh hanya separuh daripada biasa.

Beliau berkata, sektor pengangkutan awam perlu diurus secara sistematik dan teratur dalam usaha memenuhi keperluan rakyat di peringkat akar umbi, sekali gus memudahkan pergerakan mereka dalam tempoh ini.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, kerajaan Sabah masih meneruskan kawalan keselamatan di semua daerah meskipun rentas daerah dibenarkan di negeri ini bagi memastikan rakyat mematuhi SOP ditetapkan termasuk had penumpang dalam setiap kenderaan.

Katanya, rakyat perlu sentiasa peka, berdisiplin dan prihatin terhadap kesihatan diri masing-masing dengan mengamalkan jarak sosial bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19.

“Ini termasuk ketika berziarah pada Hari Raya nanti. Rakyat perlu tahu membuat kawalan kendiri lebih-lebih lagi Sabah kini ada kes baharu melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi yang pulang ke negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata kawalan sempadan juga akan terus diperkukuh demi menjaga keselamatan rakyat Sabah sekali gus memastikan tidak ada anasir luar membolosi sempadan negara.

“Kita perlu sentiasa berada dalam keadaan bersiap-siaga,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button