Berita Utama

Sabah catat dua lagi kes baharu babitkan pelajar UMS

Punca jangkitan dalam siasatan, pencegahan giat dijalankan

KOTA KINABALU, 21 Ramadan 1441H, Khamis – Dua lagi kes baharu positif COVID-19 di Sabah melibatkan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), kata Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Christina Rundi.

Beliau berkata, kes itu dikesan semalam dan menjadikan jumlah kumulatif positif COVID-19 di Sabah sebanyak 330 kes setakat ini.

“Kes itu dikesan melalui saringan dan sampel yang diambil berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Pengurusan Pergerakan Pelajar untuk Negeri Sabah yang dikendalikan oleh UMS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua pelajar berkenaan telah dimasukkan ke wad hospital untuk rawatan.

“Aktiviti kawalan dan pencegahan di UMS masih giat dijalankan dan punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.

Dr Christina berkata, setakat ini tiga pelajar daripada universiti berkenaan disahkan positif COVID-19.

“Pelajar tersebut antara ribuan penuntut institusi pengajian tinggi yang dibenarkan kembali ke kampung masing-masing menerusi inisiatif yang melibatkan pergerakan besar-besaran pelajar dari zon merah ke zon hijau dan kuning.

Sementara itu, Dr Christina berkata, bermula semalam semua yang memasuki negeri ini termasuk pelajar daripada Semenanjung diwajibkan menjalani kuarantin di tempat yang telah diwartakan.

“Ini ekoran daripada peningkatan kes di Sabah melibatkan kemasukan rakyat Sabah yang baru balik dari luar negeri dan masalah kepatuhan mereka kepada perintah kuarantin di rumah masing-masing,” katanya.

Pada 11 Mei lalu Sabah mencatatkan peningkatan mendadak kes baharu positif COVID-19 dengan 10 kes dan dua daripadanya adalah pelajar universiti yang tiba dari Semenanjung. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button