Berita Utama

Selangor benar solat Jumaat berperingkat, maksimum 12 orang

Peringkat ke-2 berkuat kuasa 22 Mei babitkan 24 masjid pengurusan

BANGI, 21 Ramadan 1441H, Khamis – Pelaksanaan solat Jumaat di Selangor dibenarkan secara berperingkat di masjid yang terpilih dengan syarat bilangan jemaah maksimum seramai 12 orang sahaja.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad berkata, jemaah seramai 12 orang berkenaan ialah pegawai dan ahli jawatankuasa masjid yang terpilih sahaja.

“JAIS membuat ketetapan berikutan titah Sultan Selangor setelah menyembah maklum Keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-5 pada 8 Mei lalu dan cadangan pelaksanaan solat Jumaat oleh Pengerusi Majlis Agama lslam Selangor, Sahibus Samahah Mufti Negeri Selangor yang turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Agama lslam Selangor pada 13 Mei.

“Sehubungan dengan itu, Sultan Selangor telah berkenan dan menitahkan agar pelaksanaan solat Jumaat dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan ianya dapat dilaksanakan secara terkawal untuk mengekang kadar kebolehjangkitan wabak COVID-19.

“Baginda amat prihatin dengan situasi negeri ini yang masih berada dalam zon merah dan kuning ancaman wabak berkenaan, malah masih terdapat kawasan yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut beliau berkata, pada peringkat pertama – berkuat kuasa esok – masjid yang terlibat adalah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang merupakan Masjid Negeri serta Masjid Daerah (sembilan buah masjid) dan Masjid Diraja (lima buah masjid).

Katanya, masjid negeri akan menjadi saluran rasmi JAIS dan membuat siaran langsung khutbah Jumaat menerusi akaun Facebook.

Sementara bagi peringkat kedua berkuat kuasa 22 Mei melibatkan sebanyak 24 masjid pengurusan (naik taraf), katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close