Berita Utama

Singapura catat 752 kes baharu, keseluruhan 26,098

Setakat ini lebih daripada 90 kluster direkod

SINGAPURA, 21 Ramadan 1441H, Khamis – Singapura, yang pada Rabu melaporkan 958 kes pulih daripada jangkitan COVID-19, hari ini mengesahkan 752 kes positif baharu, menjadikan jumlah jangkitan di republik berkenaan kini 26,098 kes.

Data awal setakat tengah hari ini menunjukkan hanya dua kes melibatkan warga Singapura atau penduduk tetap manakala selebihnya adalah pemegang permit kerja yang tinggal di asrama pekerja asing.

Dalam kenyataan di sini, Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu menyatakan pihak kementerian masih meneruskan perincian kes-kes tersebut dan akan memberikan maklumat terkini lewat hari ini.

Singapura setakat ini telah mengklasifikasikan 1,324 sebagai kes komuniti, 580 sebagai kes import, 434 kes yang melibatkan pekerja asing yang tinggal di luar asrama dan 23,008 kes pekerja asing yang tinggal di asrama.

Pada masa ini, 4,809 pesakit telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan telah dibenarkan keluar dari hospital atau fasiliti rawatan komuniti.

Dilaporkan bahawa pada akhir bulan ini, terdapat 20,000 pekerja asing di Singapura yang akan dibenarkan keluar dari hospital dan banyak lagi yang akan pulih pada bulan Jun.

Republik ini telah menyaring lebih 3,000 pekerja asing di asrama setiap hari, dan setakat ini lebih daripada 32,000 atau kira-kira 10 peratus daripada jumlah pekerja asing telah menjalani ujian saringan.

Ketika ini, MOH berkata, 1,037 kes yang disahkan masih dirawat di hospital dengan 19 daripadanya ditempatkan di unit rawatan rapi, sementara 21 telah meninggal dunia.

Kementerian itu berkata, 19,479 yang bergejala ringan atau baik dari segi klinikal tetapi masih diuji positif untuk COVID-19, diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti.

Pada Rabu, MOH mengenal pasti enam kluster baharu manakala kluster terbesar di republik itu, S11 Dormitory @ Punggol mempunyai sejumlah 2,562 kes yang disahkan.

Singapura, setakat ini, mempunyai lebih daripada 90 kluster. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button