Berita Utama

Solat Jumaat, Aidilfitri di Negeri Sembilan hanya di masjid terpilih

Bilangan jemaah had minimum 4, maksimum 12 orang

SEREMBAN, 21 Ramadan 1441H, Khamis – Pelaksanaan solat Jumaat di negeri ini yang akan bermula esok hanya boleh dilakukan di masjid dan surau terpilih sahaja, kata Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Mohamed Husein.

Pada sidang media khas di sini, hari ini, beliau berkata, perkara itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir serta persetujuan Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin, semalam.

“Oleh kerana pandemik COVID-19 belum tamat sepenuhnya, maka kebenaran mendirikan solat Jumaat (di kesemua masjid) di Negeri Sembilan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih tidak dibenarkan.

“Bagaimanapun, pelaksanaan solat Jumaat hanya terpakai bagi masjid dan surau (yang sebelum ini dibenarkan mengadakan solat) Jumaat yang terpilih sahaja yang akan dipertimbangkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) setelah penelitian dibuat,” katanya.

Mengenai solat sunat Aidilfitri, Mohamed berkata, ia akan dilaksanakan di masjid dan surau yang sama yang dibenarkan mengadakan solat Jumaat.

“Pelaksanaan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di masjid dan surau kecuali di masjid dan surau Jumaat terpilih adalah tidak dibenarkan, dan ia hendaklah dilaksanakan di kediaman masing-masing,” katanya.

Mohamed berkata, bilangan jemaah juga dihadkan dengan minimum empat dan maksimum 12 orang yang terdiri daripada pegawai dan ahli jawatankuasa masjid, bagi kedua-dua solat tersebut.

Sementara itu, beliau berkata, Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan MAINS akan membuka kaunter zakat bergerak di masjid terpilih di setiap daerah bermula esok sehingga 23 Mei bermula 10 pagi hingga 2 petang, bagi memudahkan masyarakat Islam di negeri ini membuat urusan tersebut.

“Pembukaan kaunter zakat ini lebih memfokuskan kepada penempatan di luar bandar khususnya di gugusan Felda dan perkampungan yang sukar untuk mendapatkan capaian Internet.

“Bagaimanapun, masyarakat Islam yang mempunyai pelbagai kemudahan Internet digalakkan terus menunaikan zakat harta dan zakat fitrah secara dalam talian sepertimana dimaklumkan sebelum ini,” katanya. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close