Berita Utama

Tiada isu lewat bayar BPN

Panggilan telefon LHDN ditutup, jawapan automatik diaktifkan

KUALA LUMPUR, 21 Ramadan 1441H, Khamis – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menegaskan tiada isu kelewatan bayaran bagi pemohon yang telah diluluskan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan memberikan nombor akaun bank yang tepat.

LHDN dalam satu kenyataan berkata semua pembayaran BPN adalah berdasarkan garis masa yang ditetapkan Kementerian Kewangan (MOF) dan kementerian itu juga telah menggariskan syarat kelayakan penerima BPN dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada 29 Mac lepas.

“Bagi fasa pertama, sebanyak 8.3 juta penerima telah diluluskan dan pembayaran telah dibuat secara berperingkat mulai 6 April dengan peruntukan bayaran yang terlibat ialah RM9.3 bilion. Bagi permohonan baharu dan rayuan yang dibuka sehingga 30 April pula sejumlah 2.3 juta permohonan baharu dan rayuan BPN telah diluluskan dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.7 bilion,” jelas LHDN.

Penjelasan LHDN ini adalah sebagai maklum balas kepada surat seorang pembaca akhbar tempatan yang mendakwa terdapat isu kelewatan pembayaran BPN, penutupan talian telefon LHDN dan kekangan warga emas untuk menggunakan sistem teknologi maklumat selain terdapat risiko COVID-19 bagi mereka sekiranya hadir ke cawangan LHDN.

Bagi menjelaskan isu talian telefon, LHDN berkata, semua cawangannya termasuk Pusat Khidmat Hasil (PKH) telah ditutup bagi mengekang penularan wabak COVID-19, dan ia telah dimaklumkan melalui satu kenyataan media bertarikh 17 Mac.

“Semua panggilan telefon ke cawangan LHDN telah ditutup dan jawapan sistem telefon automatik telah diaktifkan bagi memaklumkan mengenai penutupan ini.

“Namun demikian sebarang maklum balas dan pertanyaan boleh disalurkan ke Hasil Care Line (HCL) di talian 03-89111000 / 603-89111100 (Luar Negara), Hasil Live Chat dan portal Maklum Balas Pelanggan LHDNM di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/,” kata LHDN.

Menurut LHDN lagi, perkhidmatan telefon di semua cawangannya telah beroperasi semula pada 29 April dan 4 Mei (kecuali di Pusat Transformasi Bandar) bermula 8 pagi hingga 4.30 petang.

“Justeru, adalah berkemungkinan penulis membuat panggilan dalam tempoh premis LHDN tidak beroperasi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan panggilan beliau tidak dijawab oleh pegawai kami,” kata LHDN dengan menjelaskan sehingga 30 April lepas, ia telah menjawab hampir 230,000 panggilan, e-mel dan chat.

Berhubung dengan isu warga emas, LHDN memaklumkan semua urusan permohonan BPN dan rayuan boleh dibuat tanpa perlu hadir ke kaunter, iaitu permohonan adalah secara dalam talian, manakala rayuan pula boleh dibuat dengan mengemukakan dokumen secara e-mel ke alamat [email protected]

“Kaunter perkhidmatan disediakan sebagai alternatif bagi pemohon yang memilih untuk hadir ke premis LHDN,” menurut kenyataan itu.

Untuk sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari portal rasmi LHDN di www.hasil.gov.my dan sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan perkhidmatan yang ditawarkan oleh LHDN juga boleh diajukan melalui Hasil Care Line di talian 03-89111000 atau 603-89111100 (luar negara), HASiL Live Chat dan borang maklum balas di pautan https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/ atau melalui Twitter dan Facebook LHDN. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button