Berita Utama

Trend kes positif COVID-19 madrasah tanpa gejala membimbangkan

12,384 sampel diuji 635 positif, 10,755 negatif, 994 kes masih tunggu keputusan

PUTRAJAYA, 21 Ramadan 1441H, Khamis – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati 539 daripada 635 orang dalam kalangan pelajar, guru dan kakitangan madrasah dan tahfiz atau 84.9 peratus yang dikesan positif COVID-19 tidak mempunyai sebarang gejala saluran pernafasan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini seterusnya boleh mengakibatkan penularan yang lebih meluas dalam kalangan ahli keluarga mereka dan masyarakat setempat, sekiranya langkah pencegahan tidak diambil.

Beliau berkata, pengesanan kes secara aktif dan pendekatan tertumpu KKM sehingga kini telah mengenal pasti 19,209 orang terdiri daripada pelajar, guru dan kakitangan daripada 370 madrasah dan pusat tahfiz di seluruh Malaysia.

Katanya daripada jumlah keseluruhan itu, sejumlah 12,384 sampel diuji dan terdapat 635 kes positif; 10,755 kes negatif dan 994 kes masih menunggu keputusan.

“Berdasarkan keputusan saringan ini, didapati kadar positif kalangan kumpulan berisiko ini adalah 5.1 peratus. Jika dibandingkan dengan situasi pada satu minggu lalu (7 Mei 2020), kadar positif kalangan kumpulan berisiko ini adalah 4.4 peratus.

“Trend kenaikan kadar positif ini adalah membimbangkan kerana ia menunjukkan kebarangkalian untuk menjangkiti orang lain dalam kalangan kumpulan ini adalah semakin meningkat,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close