Berita Utama

Tuduh Melayu bacul, Tun jadi kuda tunggangan DAP

Kepentingan Melayu digadai hanya kerana sekongkol dengan DAP

BANGI, 21 Ramadan 1441H, Khamis – “Tidak sangka Tun Dr Mahathir Mohamad begitu naif menjadi boneka dan kuda tunggangan DAP sehingga ke saat ini dan masih mahu menyalahkan semua pihak kecuali dirinya sendiri.”

Demikian luahan kesal Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz selepas bekas perdana menteri mendakwa orang Melayu sekarang menjadi bacul kerana takut dengan DAP, sehingga sanggup memilih penyangak sebagai pemimpin.

Menempelak dakwaan itu, beliau berkata, Dr Mahathir sebenarnya yang bacul dan mengkhianati orang Melayu dengan bersekongkol dengan DAP.

“Selama 22 bulan, apa yang orang Melayu dapat dari pemerintahan yang didominasi DAP, selain dari pelbagai hinaan kepada Islam dan Melayu.

“Bukan itu sahaja, jawatan menteri yang begitu strategik dan penting diberikan kepada DAP. Banyak kepentingan orang Melayu digadaikan dengan bersekongkol dengan DAP semata-mata kerana kuasa,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Prof Badhrulhisham bagaimanapun menzahir rasa syukur kerana ramai orang Melayu tidak bacul menghadapi DAP.

“Pelbagai NGO dan parti politik serta orang perseorangan Melayu berani bangkit dan tidak jemu membongkar angkara dan muslihat DAP terutama sejak PRU12 lagi hingga ke hari ini, demi maruah dan masa depan bangsa Melayu,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir menyatakan rasa malu apabila ramai Melayu percaya DAP – parti rasis dan cauvinis – akan menghancurkan bangsa berkenaan sekiranya berada dalam kerajaan Malaysia.

Dakwanya, banyak peristiwa menunjukkan orang Melayu tidak mudah dihancurkan, namun menyifatkan bangsa itu boleh hancur kerana membenarkan penyangak menjadi pemimpin.

Tindakan Dr Mahathir yang menghina dan merendah-rendahkan orang Melayu dengan tuduhan tidak berasas bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Sebelum ini ketika berucap di Kongres Maruah Melayu, beliau menyifatkan masyarakat Melayu tidak sanggup membuat kerja berat dan kasar kerana berasa ia pekerjaan hina serta berpendapatan kecil.

Katanya, ia berbeza dengan warga asing yang datang ke negara ini dan sanggup bekerja dalam pekerjaan yang dianggap kotor, sukar dan berbahaya tetapi akhirnya berjaya memajukan diri.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close