Berita UtamaDunia

WHO ramal 4 hingga 5 tahun untuk kawal sepenuhnya COVID-19

Pengawalan virus bergantung kepada pembangunan vaksin efektif

GENEVA, 21 Ramadan 1441H, Khamis – Ketua Saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meramalkan kira-kira empat hingga lima tahun diperlukan dalam usaha dunia mengawal COVID-19 dengan efektif.

Soumya Swaminathan berkata, terdapat pelbagai faktor yang akan menentukan berapa lama dan sejauh mana virus itu akan kekal sebagai ancaman, termasuk sama ada ia akan bermutasi atau tidak.

“Saya boleh katakan dalam tempoh masa empat ke lima tahun, mungkin kita dapat mengawal pandemik ini,” katanya sambil memberi amaran bahawa pandemik itu berpotensi bertambah buruk.

Swaminathan berkata, vaksin adalah cara terbaik untuk mengatasinya, namun masih banyak lagi ketidaktentuan mengenai keberkesanan dan keselamatan vaksin itu, serta penghasilan dan pengedaran yang sama rata.

“Vaksin juga boleh hilang keberkesanannya sekiranya virus itu berubah,” katanya seperti dilapor Financial Times.

Swaminathan menyatakan menimbang risiko dan manfaat pelonggaran sekatan, serta mencari cara untuk mencapai normal baharu adalah cabaran terbesar yang dihadapi penggubal dasar.

Sementara itu, Profesor Kesihatan Global di London School of Hygiene and Tropical Medicine, Peter Piot bersetuju bahawa pengawalan virus bergantung kepada pembangunan vaksin yang efektif.

Bagaimanapun katanya, penghapusan penyakit itu memerlukan lebih banyak usaha dan kaedah.

“Hanya cacar air (smallpox) yang dapat dihapuskan dan dibasmikan sebagai penyakit,” kata Piot.

Beliau yang turut dijangkiti COVID-19 dan dalam fasa pemulihan berkata, negara tidak boleh hanya memikirkan strategi jangka pendek untuk bulan-bulan akan datang sahaja.

Bahkan Piot bersetuju bahawa organisasi yang lebih baik adalah penting.

Katanya, birokrasi yang tidak cekap dan perolehan sektor awam telah mengganggu kemampuan banyak negara untuk menguji dan mengesan virus itu.

“Apabila kita masuk ke fasa seterusnya dalam mendepani pandemik ini, tiada lagi pilihan selain untuk melabur lebih banyak dalam menjalankan ujian,” kata beliau. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button