Berita Utama

113 PATI ditahan di Selayang Baru

Seramai 1,683 warga asing diperiksa dalam operasi itu

SELAYANG, 22 Ramadan 1441H, Jumaat – Seramai 113 pendatang tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) selepas menyerbu penempatan warga asing di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selayang Baru semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, seramai 1,683 warga asing diperiksa dalam operasi itu.

Menurutnya, mereka yang yang ditahan membabitkan 63 warga Indonesia, Myanmar (22), India (19), Bangladesh (6), Pakistan (2) dan Nepal (1).

“Jumlah tahanan ini terdiri daripada 66 lelaki, 36 wanita dan masing-masing 11 kanak-kanak lelaki dan perempuan. Kesemua mereka disahkan negatif Covid-19,” katanya seperti Sinar Harian.

Khairul Dzaimee berkata, operasi yang bermula jam 9 pagi itu turut dibantu anggota polis, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Keselamatan Negara.

“Kawasan ini menjadi tumpuan warga asing yang majoritinya bekerja di kawasan pasar borong Selayang.

Majoriti warga asing di kawasan ini ialah etnik Rohingya yang memiliki kad Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNCHR),” katanya.

Tambahnya, siasatan lanjut mendapati antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, memiliki pas atau permit palsu dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

“Kesemua mereka akan disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Kesemua yang ditahan dibawa untuk proses dokumentasi di Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jalan Duta.

Khairul Dzaimee menegaskan kesemua mereka yang ditahan itu akan diusir ke negara asal setelah menjalani hukuman dan akan disenarai hitamkan.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close