Berita Utama

Dapatkan imunasi anak Tahun 1 ikut jadual: Dr Noor Hisham

PKPB perkhidmatan imunisasi di sekolah tak dapat dijalankan

KUALA LUMPUR, 22 Ramadan 1441H, Jumaat – Ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak di Tahun 1 diminta mendapatkan imunisasi anak masing-masing di fasiliti kesihatan berhampiran apabila menerima jadual janji temu perkhidmatan itu melalui pihak sekolah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Nor Hisham Abdullah, berkata dalam tempoh negara kini menghadapi wabak COVID-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), penyampaian perkhidmatan imunisasi di sekolah tidak dapat dijalankan seperti biasa kerana sesi persekolahan masih belum bermula.

Katanya, perkhidmatan itu melibatkan pemberian imunisasi mencegah penyakit demam campak (measles), rubella, difteria dan kancing gigi (tetanus) untuk murid Tahun 1, imunisasi Human Papillomavirus (HPV) bagi murid perempuan Tingkatan 1 dan imunisasi ATT (dos tambahan vaksin tetanus) bagi murid Tingkatan 3.

“Perkhidmatan imunisasi kepada murid sekolah masih lagi diteruskan dan semasa tempoh penutupan sekolah, perkhidmatan imunisasi ini akan diberikan di fasiliti kesihatan kerajaan seperti Klinik Kesihatan atau Klinik Kesihatan Ibu dan Anak atau pejabat kesihatan daerah yang berdekatan. Pada tahun ini, keutamaan diberikan kepada pemberian imunisasi untuk murid Tahun 1.

“Untuk tujuan ini, Kementerian Kesihatan juga telah mendapatkan kerjasama Kementerian Pendidikan untuk membantu dalam menyelaras pemakluman kepada ibu bapa atau penjaga mengenai perkhidmatan imunisasi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sokongan berterusan bagi program imunisasi daripada semua pihak sangat penting demi melindungi kesihatan dan masa depan murid sekolah. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close