Berita Utama

36 kes positif COVID-19, 88 sembuh, tiada kematian

Daripada jumlah kes baharu, 28 di kalangan bukan warganegara

PUTRAJAYA, 22 Ramadan 1441H, Jumaat – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sebanyak 36 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan setakat 12 tengah hari ini, mengekalkan angka antara yang terendah direkodkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, 28 adalah kes dalam kalangan bukan warganegara.

“Jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah 6,855 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,304 kes,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Menurutnya, sebanyak 88 kes sembuh dan dibenarkan discaj hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 5,439 kes, iaitu 79.3 peratus daripada keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham berkata tiada kes kematian dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal 112 kes.

Beliau berkata KKM telah menjalankan usaha pemurnian data-data berkaitan COVID-19 dan satu sistem pangkalan data dikenali ‘eCOVID’ telah dibangunkan hasil kerjasama kementerian itu dengan beberapa agensi lain seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Katanya sistem eCOVID memastikan pengumpulan data daripada lapangan dapat dijalankan dengan lebih berkesan, cepat dan tepat.

“Tambahan pula penyeragaman sistem data makmal dari kesemua makmal COVID-19 (iaitu makmal-makmal KKM, universiti, MOSTi, hospital angkatan tentera dan juga makmal swasta) pula telah dipertingkatkan dengan menggunakan Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA).

“Sistem ini telah dibangunkan oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan telah mula digunakan oleh kesemua makmal COVID-19 mulai pertengahan April 2020,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata ia adalah satu pencapaian baik berbanding sebelum ini yang data daripada lapangan dan makmal telah dilaporkan secara manual.

Beliau berkata semalam, KKM telah melaporkan sebanyak 297,342 individu telah menjalani ujian COVID-19, dengan 6,819 daripada jumlah tersebut disaring positif (iaitu kadar positif adalah sebanyak 2.29 peratus).

“Bagaimanapun dengan penggunaan sistem pengumpulan data yang lebih baik ini, KKM ingin memaklumkan bahawa sehingga 15 Mei 2020 jam 12 tengah hari, KKM telah menyaring sebanyak 424,306 individu, di mana seramai 6,855 orang positif COVID-19 dan 417,451 orang adalah negatif.

“Ini menjadikan kadar positif adalah sebanyak 1.62 peratus manakala, bilangan individu yang disaring adalah sebanyak 13 orang bagi 1,000 orang populasi,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata ia menunjukkan Malaysia adalah antara negara paling banyak menjalankan ujian saringan COVID-19 dalam kalangan negara ASEAN, dengan saringan COVID-19 itu dijalankan secara tertumpu pada kumpulan-kumpulan yang dikesan berisiko tinggi untuk dijangkiti.

Jelas beliau, pemurnian data tersebut tidak dapat dilaksanakan tanpa kerjasama pelbagai pihak termasuk tujuh makmal swasta.

Katanya, KKM turut berharap agar kerjasama daripada makmal-makmal berkenaan dapat diteruskan dan semua data itu dapat diberikan atas kepentingan negara dalam menghadapi wabak COVID-19. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close