Diskaun 50 peratus bagi bayaran saman terpilih mulai 18 Mei
JSPT buka kaunter perkhidmatan secara berperingkat bermula Isnin

BANGI, 22 Ramadan 1441H, Jumaat – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan membuka kaunter perkhidmatan di semua ibu pejabat polis daerah dan kontinjen secara berperingkat bermula 18 Mei ini.
Pengarah JSPT, Datuk Azisman Alias berkata, pembukaan kaunter itu bertujuan memudahkan orang ramai menjelaskan bayaran saman serta pembekalan dokumen-dokumen berkaitan kes kemalangan bagi tuntutan insurans.
Justeru katanya, orang ramai yang ingin berurusan di kaunter diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan.
“JSPT memahami kekangan kewangan masyarakat sepanjang tempoh PKPB bagi mengawal pandemik COVID-19 dan persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Bagi meringankan beban ini, JSPT menawarkan diskaun sehingga 50 peratus bagi saman-saman terpilih sekiranya membuat pembayaran secara dalam talian melalui portal www.myeg.com.my dan www.rilek.com.my selama empat hari bermula dari 18 Mei hingga 21 Mei.
“JSPT menyeru orang ramai agar sentiasa mematuhi PKPB yang sedang dikuatkuasakan demi kebaikan bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.