Berita Utama

Hanya Masjid Negara dibenar laksana solat Jumaat, tarawih

2 masjid di Putrajaya masih berada dalam zon kuning: Jakim

BANGI, 22 Ramadan 1441H, Jumaat – Hanya Masjid Negara sahaja daripada tiga masjid utama di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memulakan pelaksanaan solat Jumaat, solat berjemaah, sunat tarawih dan sunat Aidilfitri mulai hari ini.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Paimuzi Yahya berkata, dua lagi masjid utama negara iaitu Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya masih belum dibuka untuk semua aktiviti berkenaan susulan berada dalam zon kuning.

Beliau berkata, hanya Masjid Negara sahaja yang berada dalam zon hijau, sekali gus membolehkan pelaksanaan semua aktiviti dan ibadah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Walau bagaimanapun, pelaksanaan solat berjemaah tersebut hanya dihadkan kepada jemaah yang tidak kurang daripada tiga orang dan tidak melebihi 30 orang yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan masjid serta jemaah yang akan ditentukan oleh pihak pentadbiran masjid.

“Seperti yang disarankan oleh pihak kerajaan, pelaksanaan solat berjemaah di masjid akan mematuhi semua syarat-syarat yang telah dinyatakan melalui garis panduan yang telah disediakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Paimuzi menasihatkan orang ramai untuk merujuk kepada pihak pentadbiran masjid terlebih dahulu dan tidak dibenarkan hadir untuk solat berjemaah atau sebarang aktiviti sebelum mendapat keizinan.

“Ini bagi mengelakkan berlakunya kehadiran jemaah yang di luar kawalan pihak masjid dan boleh menyebabkan penjarakan sosial yang tidak terkawal.

“Sama-samalah kita berdoa semoga keadaan negara kita kembali pulih sepenuhnya dari wabak COVID-19 dan aktiviti di masjid dapat beroperasi seperti biasa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button