Pendapat

Iktibar isu sumbangan selebriti timbulkan kritikan terhadap pihak berwajib

Pemerintahan Islam rosak bila habuan dunia dikira pendorong

SAYA dah pernah cakap dulu, para pemimpin jangan ambil tahsiniyat selagi daruriyat rakyat marhaen belum selesai.

Pakai kereta yang memenuhi hajiyat sebagai pemimpin saja. Bukan nak minta jangan ada seorang pun miskin, itu mustahil.

Tapi saya bercakap mengenai maqasid wilayah ammah serupa maqamnya dengan maqasid fardhu ain seperti solat, zakat dan seumpamanya. Tiada habuan dunia yang mendorong. Buat semata-mata kerana Allah Taala suruh.

Ambil gaji, elaun dan kemudahan untuk membolehkan kita buat kerja sebagai pemimpin. Bukan kita kerja sebagai wakil rakyat dan pemerintah untuk ambil gaji, elaun dan segala kemudahan. Beza itu, bak kata al-marhum Ustaz Ismail Kamus.

Apa jadi jika solat ada habuan dunia? Rosak tujuan dan hasil solat itu nanti. Begitulah tujuan pemerintahan Islam rosak apabila habuan dunia sudah masuk ke dalam perkiraan sebagai pendorong. Akhirnya masalah rakyat yang miskin tak selesai selepas puluhan tahun.

Puncanya ialah kita hidup dalam sistem politik yang menjadikan jawatan wilayah ammah sebagai habuan. Sistem itu amat kuat dan merosakkan ahli politik, kecuali mereka yang dirahmati Allah dengan taufiqNya.

Ini satu suasana toksik dunia politik yang kita hidup di dalamnya. Ada satu lagi suasana toksik yang kita alami, yang juga memerlukan ketelitian dan keinsafan tinggi untuk menyelamatkan diri daripadanya.

Suasana toksik yang kedua ini memburukkan lagi kesan suasana toksik dunia politik tadi. Suasana toksik yang kedua ini berkaitan dengan media sosial, lahir sebagai kesan sudut negatif bagi “citizen journalism” atau kewartawanan gerila.

Toksik itu ada pada pergaduhan dan caci maki yang timbul daripada kurangnya faktor keseimbangan sesuatu berita yang dipaparkan menerusi media sosial oleh kewartawanan gerila ini. Orang ramai dapat berita yang tidak lengkap, tapi popular.

Oleh itu, seseorang selebriti itu harus mengambil kira implikasi secara langsung dan secara tak langsung akibat daripada perbuatannya memaparkan sesuatu peristiwa dan kejadian di media sosial.

Walaupun tujuan kita baik, tetapi syariat menuntut kita untuk menimbangkan ‘maalat af’al’ atau bahasa mudahnya implikasi perbuatan kita itu.

Sudah tentu tiada gunanya kebaikan sumbangan kita kepada seorang fakir miskin jika di kemudian harinya menimbulkan fenomena caci maki sesama muslim, sementelahan kita tahu akhlak netizen ada macam-macam, tujuan mereka juga ada macam-macam, termasuk motif politik kepartian.

Jika sememangnya tujuan kita memaparkan itu supaya pihak berwajib sedar tentang kelalaian mereka, adakah benar itu cara terbaik untuk mencapai tujuan itu?

Jika benar, maka apakah kita mampu mengawal implikasinya agar tidak melampaui batas sehingga menimbulkan kesan negatif seperti perseteruan dan buruk sangka terhadap pihak berwajib terutamanya institusi Islam?

Rasulullah ﷺ pernah memuji seorang sahabat kerana dua sifat yang dia ada. Ketika rombongannya sampai ke Madinah, rakan-rakannya terus meninggalkan kuda-kuda mereka begitu saja untuk berjumpa dengan Rasulullah, manakala dia lewat kerana menambatkan kuda-kuda itu terlebih dahulu dan memperkemaskan penampilannya sebelum bertemu Rasulullah. Dua sifat itu ialah ‘nafas panjang’ dan tenang.

Peribahasa orang Melayu ada menyebut, ‘bagai menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak’.

Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman
Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button