Berita Utama

Kor Ming lemah bahasa Melayu, kayu ukur sekolah vernakular?

Individu mahu tanding PRU patut lulus ujian lisan, bertulis BM

BANGI, 22 Ramadan 1441H, Jumaat – Tidak keterlaluan jika rakyat menuntut mana-mana individu yang mahu menjadi calon untuk sebarang pilihan raya lulus ujian lisan dan bertulis bahasa Melayu terlebih dahulu, khususnya dalam bentuk karangan serta pengucapan awam sehari sebelum penamaan calon.

Bahkan, wang deposit yang tinggi juga perlu diletakkan ke atas mana-mana individu yang berhasrat menjadi calon untuk mengambil ujian berkenaan, cadang Pengerusi Ikatan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (iPeguam), Muhammad Luttfi Abdul Khalid.

Beliau menyuarakan syor berkenaan merujuk kenyataan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming di Twitternya baru-baru ini.

“Oh Bahasa Melayuku! Bahtera, mengusung, siratulrahim. Kalimat-kalimat di atas kalau diucapkan atau ditulis oleh seorang pelajar Tingkatan 3 yang lemah dalam subjek Bahasa Melayu kita boleh faham.

“Tapi, bila terpampang dalam Twitter individu yang sudah lama berpolitik dan pernah menjadi Timbalan Speaker Parlimen, kita mungkin tertanya-tanya, barangkali inilah ukuran pencapaian kertas Bahasa Melayu dari sekolah-sekolah vernakular,” sindirnya.

Kor Ming dalam kenyataan pada 12 Mei lalu menyatakan: “Tuan Yang Di Pertua Dewan Negeri Perak, YB Dato @ngehkooham sudah umum beliau akan letak jawatan tetapi mengapa kerajaan PN masih mengarahkan bahtera pegawai untuk paksa mengusung keluar beliau? Hormatlah sikit. #RakyatHakimNegara @pakatanharapan_@dapmalaysia.”

Kenyataan Ahli Parlimen Teluk Intan itu ternyata menjadi bahan jenaka dan kritikan netizen yang menyifatkan penggunaan beberapa perkataan tidak bersesuaian dengan keadaan.

Turut mengkritik kesilapan Kor Ming, Muhammad Luttfi mengingatkan puak yang kononnya perjuangkan gagasan Malaysian Malaysia mengenai pentingnya slogan bahasa jiwa bangsa.

“Nampaknya Timbalan Speaker Dewan Parlimen telah gagal menjiwai gagasan parti sendiri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button