Berita Utama

Maut dirempuh kereta lawan arus

Polis masih mengesan pemandu didapati tiada di lokasi kejadian

BUKIT MERTAJAM, 22 Ramadan 1441H, Jumaat – Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu melawan arus di susur masuk Jambatan Pulau Pinang di sini pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 10.35 pagi itu, kereta Produa Myvi itu dikatakan merempuh dua buah motosikal di laluan berkenaan.

Akibat rempuhan berkenaan, seorang penunggang motosikal dikenali sebagai Muhamad Hafiz Bakri, 31, meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa, Lim Kar Tian, 34, patah kaki kiri.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, polis masih mengesan pemandu Produa Myvi berkenaan yang didapati tiada di lokasi ketika kejadian.

“Mangsa yang maut dibawa ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya dan bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan parah di bahagian kepala.

“Seorang lagi mangsa dikejarkan ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Shafee berkata, usaha mengesan pemandu Produa Myvi berwarna putih itu giat dijalankan dan polis meminta kerjasama orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil memberikan maklumat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close