Berita Utama

PKP diperkasa sekitar Pudu

Difahamkan pemasangan pagar kawat duri dilakukan ATM

KUALA LUMPUR, 22 Ramadan 1441H, Jumaat – Kawasan sekitar Pudu dikawal ketat pihak berkuasa apabila lokasi berkenaan dipasang pagar kawat duri dipercayai bermula tengah malam tadi.

Difahamkan pemasangan pagar kawat duri dilakukan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan berkenaan dari D’Majestic Place hingga ke persimpangan Jalan Pasar/Jalan Pudu dan Jalan Landak.

Media sebelum ini melaporkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan ujian saringan terhadap ratusan pekerja warga asing yang bekerja di Pasar Pudu, awal bulan ini.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kawasan itu tidak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sebaliknya hanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkemas dan diperkasa.

“Kawasan itu bukan dikenakan PKPD tetapi memperkemas dan memperkasa PKP seperti dilakukan di Jalan Raja Bot, Pasar Chow Kit,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan PKPD dilaksanakan di Selayang dan Chow Kit seperti tular di media sosial.

Menurutnya, ia belum dilaksanakan sebaliknya kawalan diperketatkan secara pentadbiran.

Beliau memaklumkan pihaknya mengawal kawasan itu dengan memasang pagar kawat duri, namun tidak mengisytiharkan PKPD.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button