Berita Utama

36 ADUN selesai menghadap Sultan Kedah

Wakil rakyat PN menghadap sebelah pagi, manakala PH petang

ALOR SETAR, 22 Ramadan 1441H, Jumaat – Semua 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah selesai menghadap Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, hari ini.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang juga ADUN Jitra adalah wakil rakyat terakhir dilihat memasuki bangunan Wisma Darul Aman di sini bagi menghadap Sultan Sallehuddin di pejabat baginda di bangunan tersebut pada pukul 4 petang tadi.

Wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) menghadap Sultan Kedah pada sebelah petang manakala wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) pada sebelah pagi.

Majlis menghadap itu dipercayai susulan perkembangan politik negeri ini apabila dua ADUN PKR Azman Nasrudin (Lunas) dan Dr Robert Ling (Sidam) mengumumkan keluar parti serta menyatakan sokongan kepada PN, Selasa.

Pada hari sama, Ketua Pembangkang DUN Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan 19 daripada 36 ADUN Kedah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan menteri besar. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close