Berita Utama

Rakyat yakin dengan usaha kerajaan perangi COVID-19

99 peratus responden setuju dengan pelaksanaan PKPB

KUALA LUMPUR, 22 Ramadan 1441H, Jumaat – Kepakaran perubatan dan fasiliti kesihatan di negara ini telah memberi keyakinan kepada masyarakat terhadap langkah-langkah yang diambil kerajaan dalam menangani ancaman wabak COVID-19, menurut kajian Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Hasil kajian dalam talian yang dilakukan di seluruh negara oleh Prof Datuk Seri Syed Arabi Idid di Jabatan Pengajian Komunikasi UIAM, mendapati rakyat Malaysia juga percaya wabak itu dapat diatasi dalam tempoh tiga bulan lagi.

Kajian yang melibatkan 788 reponden itu menunjukkan 99 peratus bersetuju dengan langkah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan/Bersyarat (PKP/B) sejak 18 Mac lalu dan menyifatkannya sebagai usaha terbaik dalam memerangi penularan wabak itu.

Kajian dari 24 April-9 Mei 2020 itu juga menunjukkan lebih 90 peratus responden memandang serius ancaman COVID-19 dan bimbang diri dijangkiti atau anggota keluarga dijangkiti virus itu.

Prof Syed Arabi berkata kajian itu juga mengambil maklum yang majoriti berpuas hati dengan prestasi pemimpin dan agensi-agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pasukan keselamatan dalam mengawal ancaman COVID-19.

Beliau berkata individu dan agensi yang terlibat secara langsung mendapat penghargaan orang ramai termasuk Ketua Pengarah Kesihatan. Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (99%), agensi kesihatan (para doktor, jururawat dan pembantu kesihatan) (99%) dan agensi keselamatan (93%) dalam menjalankan tugas mereka.

Mereka juga bersetuju agensi kerajaan terlibat juga sentiasa memberikan maklumat yang tepat berkaitan COVID-19 sepanjang tempoh PKP/B.

Majoriti bersetuju (95%) bahawa kerajaan prihatin dengan kesulitan yang dihadapi rakyat ekoran wabak itu tanpa mengira bangsa dan agama selain Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang diperkenalkan dapat membantu mereka yang menghadapi masalah kewangan sepanjang tempoh PKP/B.

Orang ramai juga meletakkan keyakinan penuh terhadap keupayaan agensi kerajaan dalam mengawal kenaikan harga barangan dan memastikan bekalan barangan keperluan sentiasa mencukupi di pasaran.

Prof. Syed Arabi berkata dalam gambaran lebih meluas, kajian itu secara tidak langsung menunjukkan majoriti rakyat yakin dengan keupayaan kerajaan dalam mengatasi masalah COVID-19 serta dapat menangani impaknya kepada rakyat dan negara secara keseluruhan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close