Berita Utama

Solat Jumaat di Terengganu bermula minggu depan

Sementara solat sunat Aidilfitri pula tidak dibenarkan

KUALA TERENGGANU, 22 Ramadan 1441H, Jumaat – Solat Jumaat di Terengganu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibenarkan diadakan bermula 22 Mei ini, tetapi dengan syarat-syarat yang ketat.

Syarat-syarat yang ditetapkan bagi mengadakan solat Jumaat adalah hanya satu masjid dibenarkan untuk diadakan solat Jumaat bagi satu daerah, dan bilangan ahli jemaah hendaklah tidak melebihi 40 orang.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) Datuk Osman Muda berkata perkara itu diputuskan selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin selaku ketua agama Islam negeri dan setelah mengambil kira serta mempertimbangkan pandangan-pandangan yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu yang bersidang untuk kali keempat tahun ini pada Selasa lepas.

“Keputusan ini mengambil kira keperluan mendirikan Syiar Islam dalam kalangan masyarakat ketika penularan wabak COVID-19 yang sudah menjangkau hampir dua bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya pegawai agama daerah bertanggungjawab dalam mengenal pasti jemaah yang akan menghadiri solat Jumaat dan butiran ahli jemaah perlu dicatat dengan teliti, serta semua jemaah yang diizinkan hadir hendaklah membuat pemeriksaan suhu badan serta sanitasi tangan.

Selain itu, individu berumur 60 tahun ke atas, mempunyai gejala seperti demam, selesema dan sesak nafas serta sejarah kesihatan lain seperti kencing manis dan darah tinggi tidak dibenarkan hadir.

Jemaah juga perlu mengambil wuduk terlebih dahulu sebelum hadir di masjid, memakai penutup mulut dan hidung termasuk ketika menunaikan solat, melaksanakan penjarakan sosial semasa solat sekurang-kurangnya satu meter, serta tidak melakukan kontak fizikal seperti berjabat tangan sama ada sebelum atau selepas solat.

“Setelah selesai solat, semua yang hadir hendaklah terus beredar meninggalkan kawasan masjid. Khutbah pula hendaklah ditumpukan kepada rukun sahaja dengan mengambil kira tidak lebih dari tujuh minit untuk kedua-dua khutbah.

“Sembahyang sunat adalah tidak dibenarkan sepanjang berada di dalam masjid kecuali solat sunat Tahiyatul Masjid. Memastikan aliran pengudaraan di dalam ruang solat dengan membuka semua jendela dan menggunakan kipas sahaja. Penyaman udara tidak dibenarkan,” katanya.

Osman berkata semua pegawai agama daerah dipertanggungjawabkan memastikan semua syarat dipatuhi dan masjid yang tidak mampu memenuhi syarat yang ditetapkan, tidak dibenarkan melaksanakan solat Jumaat.

Sementara itu, katanya solat lima waktu secara berjemaah di masjid hanya dibenarkan kepada tiga orang sahaja yang terdiri daripada ahli jawatankuasa masjid dan pegawai masjid secara bergilir-gilir dengan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan itu.

Selain itu, Osman berkata solat sunat Aidilfitri tidak dibenarkan di masjid dan surau sama sekali.

Dalam pada itu, katanya Sultan Mizan berharap semua rakyat jelata dapat terus bersabar dan memperbanyakkan doa ke hadrat Allah SWT lebih-lebih lagi di hari-hari terakhir Ramadan ini semoga wabak COVID-19 dapat segera ditangani.

“Baginda berdoa agar semua rakyat jelata berada dalam perlindungan dan rahmat Allah SWT,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button