Berita Utama

Pesara ATM kenang pertempuran berdarah lawan komunis

Pimpin 11 anggota PKPT tangkap, bunuh 4 pengganas komunis di Jelebu

KOTA BHARU, 9 Muharram 1443H, Rabu – Setiap kali sambutan Hari Kebangsaan, bekas Asisten Ketua Staf Perisikan Markas Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Khlir Mohd Nor, 63, pasti terkenang pertempuran melawan anggota komunis di Kampung Titi, Jelebu, Kuala Kelawang, Negeri Sembilan, pada 1983.

Khlir mengakui antara banyak operasi yang dilaluinya, insiden berdarah itu meninggalkan kesan mendalam kerana walaupun dua anggota komunis berjaya dibunuh ketika itu, seorang rakannya telah turut terkorban.

Katanya peristiwa itu berlaku ketika beliau memimpin seramai 11 anggota Pasukan Khas Perisikan Tempur (PKPT) dalam satu operasi khas untuk menangkap atau membunuh empat pengganas komunis yang berada di kawasan berkenaan.

“Maklumat awal diterima daripada Cawangan Khas (CK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai kehadiran empat pengganas komunis di Kampung Titi sebelum menjelang sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun 1983.

“Operasi itulah saya tidak akan lupa sampai bila-bila kerana seorang daripada kami telah terkorban. Allahyarham Lans Koperal Saimon Tarikat adalah pejuang sebenar pasukan ketika itu,” kata anak sulung daripada lapan adik-beradik itu ketika ditemui pemberita di Kampung Kubang Kiat Ketereh, di sini hari ini.

Menceritakan detik itu, Khlir berkata setelah strategi dibuat secara teliti dari pelbagai aspek, mereka pergi ke kawasan berkenaan dan perlu sampai di lokasi pada waktu yang sesuai bagi mengelak bertembung dengan penoreh getah yang biasanya turun ke ladang jam 4 pagi.

Menurutnya anggota-anggota komunis telah datang ke situ untuk mengambil bekalan makanan dan kewangan daripada orang kampung yang kebanyakannya telah bersekongkol dengan pihak musuh.

“Kami perlu berhati-hati menggunakan kemahiran yang ada bagi mengelak (penoreh getah) supaya tindakan menggempur tidak dihidu empat anggota komunis yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita, dengan mengatur gerakan anggota di dua kedudukan sebagai Kumpulan Penyekat sebagaimana yang dirancang,” katanya yang memulakan tugas pada 1979 dengan pangkat Leftenan Muda.

Khlir berkata beliau bersama dua anggota membawa radio set merangkak menghampiri tempat tidur musuh, namun kehadiran mereka dikesan oleh anggota komunis selepas kedengaran bunyi ranting kayu patah.

Sekitar jam 5 pagi, dalam suasana yang masih gelap, terjadilah kejadian berbalas tembakan antara kumpulannya dengan anggota komunis yang akhirnya mengorbankan Saimon.

“Sukar hendak digambarkan apabila melihat tubuh Saimon sudah kaku dan saya memeriksa tubuh badannya, namun tidak ada kesan kecederaan, kecuali pada bahagian pipi dan dagunya yang terkena peluru saiz halus menembusi bahagian kepala (belakang).

“Patutlah arwah berkelakuan pelik, seminggu sebelum itu dia memberitahu ingin memakai baju Melayu berwarna putih selain mahu menghantar cincin kepada tunangnya,” cerita Khlir yang masih berasa sedih dan terkilan apabila mengingati peristiwa itu.

Beliau yang bersara pada tahun 2018 menzahirkan rasa gembira kerana perjuangannya untuk negara kini diwarisi anak keduanya, Mejar Idura, 37, yang bertugas di Bahagian Perisikan Pertahanan di Kementerian Pertahanan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button