Berita Utama

10 sedang berhibur bersama 4 GRO Vietnam ditahan

Beroperasi tanpa permit perniagaan sah

BUTTERWORTH, 23 Ramadan 1441H, Sabtu – Polis menahan 10 individu warga tempatan dan empat wanita Vietnam dipercayai pelayan pelanggan (GRO) sedang berhibur di sebuah bangunan pejabat yang dijadikan tempat berhibur kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam serbuan di Taman Industri, Sungai Lokan di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, sepasukan polis yang sedang menjalankan tugas pemantauan pematuhan PKPB di kawasan itu pukul 12.30 tengah malam tadi mendapati premis itu telah dijadikan pusat hiburan, sedangkan masih dalam tempoh PKPB.

“Serbuan ke premis itu mendapati terdapat sembilan lelaki dan seorang wanita tempatan serta empat perempuan Vietnam sedang berhibur di situ bersama minuman keras dan muzik turut dimainkan di dalam pusat hiburan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut juga mendapati premis itu beroperasi tanpa permit perniagaan yang sah dan dipercayai ia milik seorang daripada lelaki yang ditahan itu.

Beliau berkata, kesemua individu tempatan itu berumur 40 hingga 67 tahun manakala empat wanita Vietnam yang berumur 25 hingga 28 tahun didapati gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah dan dipercayai masuk menggunakan pas lawatan sebelum bekerja sebagai GRO di premis hiburan terbabit. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button