Berita Utama

COVID-19: Dua kluster masih aktif

Libatkan tapak pembinaan, kluster pengawal keselamatan di Cheras

PUTRAJAYA, 23 Ramadan 1441H, Sabtu – Dua kluster COVID-19 masih aktif setakat hari ini, ujar Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Ia melibatkan tapak pembinaan di Kuala Lumpur dan kluster pengawal keselamatan di Cheras.

“Laporan kluster COVID-19 yang masih aktif di Malaysia sehingga 16 Mei 2020 hanya melibatkan dua kluster. Kluster yang pertama melibatkan tapak pembinaan Kuala Lumpur iaitu ada pertambahan satu kes menjadikan 31 kes.

“Kluster pengawal keselamatan Cheras ada pertambahan satu kes, menjadikan jumlah kes 25,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Mengenai ujian saringan untuk bukan warganegara, katanya kira-kira 26,000 telah disaring dan melalui ujian COVID-19 dan daripada jumlah itu, 1,302 adalah positif.

“464 bukan warganegara masih dalam rawatan, dan tiga orang lagi sedang dirawat di ICU. 830 bukan warganegara telah sembuh dan turut melibatkan empat kematian,” ujarnya.

Sementara itu, tiada kes baharu yang dikesan di Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Pasar Jalan Othman pada hari ini.

“Jumlah kes positif COVID-19 kekal 28 kes melibatkan dua kes di luar PKPD. 21 daripada mereka bukan warganegara,” kata Dr Noor Hisham lagi.

Pada masa sama, jelasnya tiada pertambahan kes melibatkan kluster perhimpunan Sri Petaling dan jumlah sampel yang telah disaring ialah 78,708 kes.

Bagi saringan di 370 sekolah tahfiz dan madrasah sehingga 16 Mei, 13,468 telah disaring dan melalui ujian COVID-19.

“Jumlah kes positif adalah 655 kes dan mereka yang bergejala ialah 96 dan mereka yang positif dan tidak bergejala ialah 559 kes,” tambahnya.

Selain itu, saringan COVID-19 di 350 pasar sehingga hari ini melibatkan sebanyak 28,385 sampel yang telah diambil dan diuji.

KKM juga memaklumkan pemantauan dan pengawasan ke atas Kluster Bandar Baharu Ibrahim Majid mula ditamatkan.

“Tiada kes dilaporkan dalam 28 hari. Kes ini melibatkan 193 kes dan 4 kes kematian. Begitu juga dengan Kluster Makassar Sabah tamat tempoh pemantauan hari ini,” tambah beliau.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close