Berita Utama

COVID-19: Tiada kes positif Ahli Parlimen setakat ini

750 orang termasuk petugas media telah lalui ujian saringan

PUTRAJAYA, 23 Ramadan 1441H, Sabtu – Tiada kes positif COVID-19 dikesan dalam kalangan Ahli Parlimen yang telah disaring setakat ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, seramai 750 orang termasuk staf Parlimen dan petugas media yang terlibat dalam persidangan itu telah melalui ujian saringan.

“Jadi setakat ini, alhamdulillah tiada kes yang didapati positif.

“Kami masih laksanakan (ujian) dalam sehari dua ini dan kami mungkin akan maklumkan keputusan (keseluruhan) dalam tempoh 24 jam,” katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Rabu lalu, pengurusan Parlimen dengan bantuan pelbagai agensi berkaitan telah melaksanakan ujian saringan COVID-19 sebagai persiapan sebelum persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara Isnin ini.

Walaupun persidangan kedua-dua dewan itu hanya akan berlangsung sehari, pihak pengurusan telah mengambil tindakan sewajarnya untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Sementara itu, beliau berkata KKM sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk mengemas kini data kematian akibat COVID-19 dengan mengasingkan punca kematian akibat wabak itu atau disebabkan penyakit lain.

“Ada kes berkaitan penyakit, kemalangan atau sebab kematian bukan sebab COVID-19, tetapi bila diambil swab, ujian positif.

“Contohnya kes kematian ke-113, pesakit ada barah paru-paru peringkat akhir, dan kami dah bagi cuti untuk penjagaan paliatif di rumah, selepas itu kesihatan pesakit semakin merosot dan bila ujian dilaksanakan ujiannya kebetulan positif, tetapi sebab kematian adalah kanser paru-paru.

“Yang ini kami (tengah) bincangkan sama ada kami harus ambil kira kes positif COVID-19 atau sebab kematian seperti bunuh diri, tetapi positif COVID-19, setakat ini kami daftar kes sebagai COVID-19,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham mengesahkan dua kluster iaitu Bandar Baru Ibrahim Majid di Johor dan Tabligh Makasar Sabah di Sabah telah tamat tempoh pemantauan hari ini.

Kluster Bandar Baru Ibrahim Majid mencatatkan 193 jumlah kes dengan empat kes kematian, manakala kluster Tabligh Makasar Sabah merekodkan sembilan kes positif dan tiada kes kematian, tambahnya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close