Berita Utama

Dewan Rakyat: Pembangkang tak hormat kegusaran rakyat

Beri ruang kepada kerajaan untuk redakan dahulu masalah COVID-19

BANGI, 23 Ramadan 1441H, Sabtu – Tindakan pembangkang untuk terus mempertikai keputusan kerajaan mengadakan persidangan Dewan Rakyat selama sehari merupakan satu bentuk protes yang tidak sepatutnya berlaku..

Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berkata, sekarang bukanlah waktu yang sesuai untuk mana-mana pihak bermain politik ekoran daripada kebimbangan terhadap penularan COVID-19.

Beliau berkata, sewajarnya ruang diberi kepada kerajaan untuk menangani masalah berkenaan terlebih dahulu sebelum isu-isu berkaitan politik dibangkitkan.

“Ini satu benda besar, kita berdepan dengan satu wabak yang besar bukan Malaysia sahaja tapi satu dunia, buat sementara tolak tepi dahulu politik.

“Kalau nak buat pun (undi tak percaya) mungkin akan datang, orang kata tak lari gunung dikejar. Masa ini bagi ruang sikit biar keadaan reda, bulan Julai nanti boleh dibahaskan isu ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Mazlan berkata, tindakan pembangkang menyatakan rasa tidak puas hati mereka ada kaitan dengan hasrat untuk membawa undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, lebih memeritkan apabila pada awalnya Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof menerima usul dari Tun Dr Mahathir Mohamad itu sebelum ditolak.

Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju sekiranya usul itu dibahaskan dalam persidangan kali ini yang dilihat tidak menghormati kegusaran rakyat.

Terdahulu, Ahli Parlimen pembangkang kesal dengan Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 yang tidak diadakan secara persidangan penuh.

Dalam kenyataan bersama mereka meluahkan kekecewaan kerana Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 pada 18 Mei ini hanya membabitkan Titah Diraja.

“Arahan ini dikesali kerana Parlimen seharusnya berfungsi sebagai wahana bagi suara rakyat dan tiang seri demokrasi.

“Ini juga kali pertama dalam sejarah lebih enam dekad Parlimen Malaysia yang mana sebuah majlis mesyuarat berlangsung tanpa sidang penuh,” kata kenyataan itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close