Berita Utama

Harga ayam, sayur naik mendadak

Harga naik lebih sekali ganda berbanding hari-hari sebelumnya

KOTA BHARU, 23 Ramadan 1441H, Sabtu – Menjelang Aidilfitri, keperluan barangan basah seperti ayam dan sayuran naik lebih sekali ganda di negeri ini.

Tinjauan ke beberapa pasar basah dan kedai mendapati, ayam yang sebelum ini berharga RM3 sekilogram kini naik sehingga RM7 ke atas sekilogram.

Manakala barangan lain seperti santan, sayuran juga lebih mahal berbanding biasa namun ikan mentah masih berada pada harga biasa.

Peniaga makanan, Mohd Khairul Syafarie Mohd Johari, 39, berkata, peningkatan harga mula berlaku sejak minggu lalu.

Katanya, jika sebelum ini dia memperuntukkan RM2,000 hingga RM3,000 sehari untuk modal bahan mentah bagi menghasilkan 60 jenis lauk pauk dan kuih, kini modal itu meningkat sekali ganda.

Katanya, paling terkesan ialah harga ayam yang naik mendadak kerana dia menjadikan menu ayam golek sebagai antara juadah utama.

“Dulu harga murah sebab permintaan kurang, jadi peniaga dan pembekal semua turunkan harga, tapi sekarang bila orang sudah boleh keluar selain Aidilfitri semakin dekat, harga terus naik mendadak.

“Kalau diikutkan, semua barang basah naik harga dan saya jangka akan terus naik menjelang Aidilfitri kerana itulah situasi yang dihadapi setiap tahun,” katanya kepada Harian Metro.

Bagi Manisah Mat Jusoh, 32, sebagai ibu tunggal tiga anak berusia antara setahun hingga tiga tahun, dia terkesan dengan kenaikan harga barangan.

Katanya, bahan keperluan dapur dan ayam perlu dibeli setiap hari sebagai juadah berbuka.

“Kenaikan harga barangan menyebabkan saya hanya membeli pakaian untuk anak-anak saja sempena Aidilfitri ini.

“Lebihan wang saya gunakan untuk beli makanan saja,” katanya.

Menurut Manisah, dia bergantung pada jualan produk atas talian bagi menampung hidup selepas kematian suami sembilan bulan lalu.

Peniaga Ikan, Mohd Ellias Mohd Nawi, 35, berkata walaupun barangan lain naik harga namun harga jualan ikan masih kekal malah bekalannya lebih daripada mencukupi.

Katanya, dia sudah menyimpan bekalan yang cukup membabitkan lebih 20 jenis ikan dan aneka makanan laut seperti udang, sotong dan ketam.

“Saya faham dengan situasi setiap kali tiba musim perayaan, kerana itu saya sediakan bekalan yang cukup supaya saya tidak perlu naikkan harga,” katanya.

Sementara itu, laman sosial Facebook Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan memaparkan operasi pemantauan di 10 pasar raya di negeri ini bagi 62 barangan keperluan asas seperti gula, minyak masak, sayuran dan lain-lain.

Ia juga memaparkan pemantauan pembelian panik menjelang Aidilfitri dan dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button