Berita Utama

Negara Arab masih apologetik melampau, tunduk tekanan AS-Israel

BERJASA kecam 4 negara Arab tak setuju lima usul berkait isu Palestin

BANGI, 28 Rabiulakhir 1445H, Ahad – BERJASA mengecam negara-negara Arab yang tidak bersetuju dengan lima usul Mesyuarat Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berhubung isu Palestin di Riyadh, baru-baru ini.

Presidennya, Haji Zamani Ibrahim kesal apabila Arab Saudi, Bahrain, Maghribi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) masih bersikap apologetik melampau serta tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat (AS) dan takut dengan Israel.

Lebih malang lagi, beliau berkata, empat negara Arab berkenaan terbabit dalam proses menormalisasi hubungan dengan negara haram Israel.

“BERJASA berpandangan tindakan empat negara tersebut menyebabkan tiada tindakan langsung yang berkesan untuk isu penjajahan di tanah Palestin, dan membiarkan kekejaman rejim pengganas Zionis Israel meneruskan pembunuhan beramai-ramai umat Islam Palestin.

“BERJASA juga mendesak Kerajaan Malaysia memainkan peranan yang lebih besar, menggerakkan 11 negara-negara Islam yang lain bagi melaksanakan lima usul tuntutan tersebut dan menekan PBB dan mana-mana pihak di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menerusi kenyataan itu, BERJASA turut menyenaraikan lima usul berkenaan iaitu mencegah penggunaan ketenteraan Amerika dan negara-negara Arab lain untuk memasuki negara haram Israel dengan senjata dan kelengkapan lainnya serta membekukan hubungan diplomatik, ekonomi, keamanan dan ketenteraan Arab dengan Israel.

Selain itu, mengancam untuk menggunakan minyak dan kemampuan ekonomi Arab untuk memberi tekanan supaya menghentikan keganasan dan mencegah syarikat penerbangan awam Israel melintasi ruang udara negara-negara Arab.

Ini termasuk, membentuk Jawatankuasa Menteri Arab yang akan segera ke New York, Washington, Brussels, Geneva, London serta Paris untuk menyampaikan permintaan Pertemuan Liga Arab agar menghentikan keganasan Israel di Gaza.

“BERJASA menyeru semua parti-parti politik Malaysia membawa aspirasi sebenar rakyat Palestin dan membawa suara mereka ke Parlimen atas dasar saudara seakidah dan tanggungjawab sebuah negara yang berdaulat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button