Berita Utama

Kedutaan kita di Thailand bantu golongan kurang bernasib baik

Setinggan tertua Bangkok dihuni lebih 100,000 orang termasuk 30,000 kanak-kanak

BANGKOK, 23 Ramadan 1441H, Sabtu – Jenjira Srisawuat, 29, ibu kepada tiga anak dengan yang bongsu bayi lelaki berusia 10 bulan, amat gembira dan terharu apabila menerima sumbangan susu formula di tadika Yayasan Duang Prateep di kawasan setinggan Khlong Toey di sini.

Keluarganya hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang selepas terkesan teruk akibat pandemik COVID-19.

Suaminya, seorang pemandu teksi motosikal, adalah satu-satunya pencari nafkah dalam keluarga itu namun hilang punca pendapatan susulan tindakan kerajaan menutup tempat awam utama termasuk pusat membeli-belah, pusat hiburan dan venue sukan sejak 22 Mac.

“Sepaket susu boleh bertahan selama seminggu. Saya gembira hari ini kerana ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan kepada bayi saya,” katanya kepada Bernama.

Jenjira adalah antara 70 wanita bergelar ibu dari kawasan setinggan itu yang menerima bantuan daripada Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel. Turut hadir Timbalan Ketua Misi Kedutaan Malaysia di Bangkok Suzilah Mohd Sidek.

Thailand pertama kali mengisytiharkan keadaan darurat dari 26 Mac hingga 30 April sebelum melanjutkannya sehingga 31 Mei bagi memerangi COVID-19.

Sementara itu, pengasas Yayasan Duang Prateep iaitu Prateep Ungsongtham Hata berkata, sejak penularan wabak COVID-19, penghuni kawasan setinggan yang kebanyakannya bergaji harian telah kehilangan punca pendapatan mereka.

“Harga susu tepung dan formula bayi adalah mahal. Mereka tidak mampu.

“Mereka akan membeli susu pekat manis untuk anak-anak mereka, yang kekurangan nutrien serta tidak membantu pertumbuhan dan perkembangan otak.

“Bantuan daripada penderma seperti anda dapat membina masa depan yang cerah buat anak-anak yang kurang bernasib baik ini. Bagi pihak mereka, saya mengucapkan terima kasih atas jasa baik anda,” katanya.

Yayasan Duang Pratepp ditubuhkan lebih 40 tahun lepas bagi membantu kanak-kanak dan keluarga mereka meneruskan hidup dan mengharungi cabaran tinggal di kawasan setinggan.

Sementara itu, Jojie berkata, sumbangan kecil tersebut adalah daripada Kelab Sukan dan Kebajikan Kedutaan Malaysia, Persatuan Wanita Wisma Putra, Bangkok dan Pengerusi Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand (MTCC) Dr Hwee Khim Boo.

“Kami gembira dapat menghulurkan sumbangan kecil ini bagi membantu golongan miskin di kawasan setinggan yang kehilangan pendapatan akibat pandemik itu,” katanya.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close