Berita Utama

Mufti Wilayah baharu lembut dalam percakapan

Dr Luqman turut berpengalaman kendali Majlis Pengawasan Syariah

BANGI, 23 Ramadan 1441H, Sabtu – Dr Luqman Abdullah iaitu Mufti Wilayah Persekutuan baharu adalah seorang yang amat lembut dalam percakapan, kata Presiden Majlis Ulama ISMA (MUIS), Dr Aznan Hasan.

Mengucapkan tahniah atas lantikan itu, Dr Aznan mendedahkan, Dr Luqman berpengalaman dalam mengendalikan Majlis Pengawasan Syariah, Amanah Raya Berhad selain menjadi salah seorang daripada ahlinya.

“Saya dapat merasakan ketenangan beliau di dalam mesyuarat, walaupun ada ketika dalam perbincangan terdapat isu-isu yang kadangkalanya agak tegang.

“Semoga Allah SWT membantu beliau di dalam memikul tanggungjawab yang baharu,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Dr Luqman yang juga pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan kelapan berkuat kuasa semalam.

Perkara berkenaan disahkan menerusi Facebook Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri yang menerima kunjungan Dr Luqman selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara pagi ini.

Menurut Dr Zulkifli yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan, majlis serah terima tugas antara beliau dan Dr Luqman berlangsung dalam suasana yang ringkas dan mahabbah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close