Berita Utama

Pasangan suami isteri, ipar ditahan miliki ganja

Di reman 14 hari, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952

LABUAN, 23 Ramadan 1441H, Sabtu – Pasangan suami isteri dan seorang ipar perempuan ditahan selepas satu bungkusan mengandungi ganja ditemui di sebuah bilik tidur pangsapuri yang dihuni mereka di Taman Perumahan Mutiara Sungai Bedaun di sini pada petang Jumaat.

Ganja mampat seberat 1,262 gram bernilai RM7,000 itu telah dihantar terus ke rumah mereka melalui perkhidmatan Pos Laju dari Kuala Lumpur namun masa dan tarikh ia diterima tidak didedahkan.

Ketua Polis Labuan, Superintenden Muhamad Farid Ahmad berkata, serbuan di pangsapuri itu dilakukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik pada 12.30 tengah hari susulan maklumat orang awam.

“Semasa serbuan, anggota kami menjumpai bungkusan itu di dalam bilik tidur pasangan tersebut dan mereka telah menahan ketiga-tiga suspek yang merupakan penduduk tempatan berusia lingkungan 20-an dengan si suami diuji positif bagi ganja manakala isteri dan ipar perempuannya bebas daripada pengaruh dadah,” katanya hari ini.

Beliau berkata, ganja itu telah dibungkus dengan plastik lut sinar serta berada di dalam sebuah kotak dan siasatan masih dijalankan bagi menentukan sama ada dadah tersebut untuk kegunaan sendiri atau untuk dijual di pasaran tempatan.

Semua suspek dibawa ke mahkamah hari ini untuk mendapatkan perintah reman selama 14 hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close