Berita Utama

SMPC sudah cukup ‘kaya’, tak perlu bantuan kerajaan: i-Guru

Tergamakkah tengok sekolah agama gulung tikar sedangkan ini negara Islam?

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 30 Safar 1443H, Khamis – Daripada membantu Sekolah Menengah Persendirian Cina (SPMC) yang tidak mengikuti sukatan pembelajaran negara, lebih baik bangunkan sekolah yang mengikuti kurikulum kerajaan.

Itulah sewajarnya terutama dalam menyalurkan peruntukan kepada sekolah – sekolah agama rakyat, tahfiz dan pondok yang terjejas akibat pandemik COVID-19, baru-baru ini.

Atas dasar itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Ustaz Mohd Azizee Hasan menggesa, pihak berwajib bersikap waras selain mempercepatkan bantuan kepada golongan terjejas.

“Kita gesa supaya dahulukan yang memerlukan dan terjejas bukannya terus menghidupkan mereka yang tidak patuh kepada sistem pendidikan negara.

“Kalau kita lihat di sekolah persendirian Cina mereka mempunyai persatuan yang kukuh dan dapat menyumbang ke arah pembangunan sekolah berkenaan, jadi kekuatan yang mereka ada sudah cukup dan memadai untuk membangunkan mereka tanpa perlu diberikan bantuan kerajaan lagi,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau tidak menafikan sekolah-sekolah agama rakyat, tahfiz dan pondok ada diberikan peruntukan khusus namun dananya masih belum mencukupi.

Malah, dakwanya, dana yang disediakan hanya boleh digunakan untuk kerja penyelenggaraan dan naik taraf sekolah sahaja.

“Jadi sangat adil sekiranya kita mendahulukan bantuan kepada mereka yang kekurangan berbanding bertindak ‘menyegarkan’ bantuan kepada yang sudah kaya dan selesa,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Ustaz Mohd Azizee berkata, selepas pandemik melanda, banyak sekolah-sekolah agama, pondok dan tahfiz terpaksa gulung tikar berikutan ketiadaan sumber untuk meneruskan operasi termasuk membayar gaji cikgu.

Tegas beliau, berdasarkan statistik yang dimiliki tidak semua sekolah-sekolah agama diberikan bantuan kerajaan.

“Daripada 90 buah sekolah tahfiz berdaftar di Perak hanya 56 buah sekolah sahaja diluluskan bantuan, begitu juga hanya sembilan buah sekolah pondok terima dana berbanding 21 buah pondok.

“Ini baru melibatkan satu negeri dan kalau dikumpulkan semua, rasanya bantuan itu lagi diperlukan berbanding mereka yang lebih selesa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau merayu sekolah-sekolah agama ini tidak dibiar ‘mati’ sendirian sedangkan mereka inilah perintis agamawan negara yang berteduh dalam pimpinan kerajaan Islam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button