Berita Utama

Pembebasan Riza: Tun M jangan hipokrit

Tun usah kelirukan rakyat dengan mendakwa beliau keliru

BANGI, 23 Ramadan 1441H, Sabtu – Tun Dr Mahathir Mohamad digesa untuk tidak bersikap hipokrit apabila mendakwa beliau tertanya-tanya dan tidak memahami dengan keputusan mahkamah, yang memberi pelepasan tanpa pembebasan terhadap Riza Shahriz Abdul Aziz.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, keputusan pembebasan ke atas anak tiri Datuk Seri Najib Tun Razak itu dibuat oleh Peguam Negara dan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan kes terbabit pada akhir 2019.

“Tindakan tun amat-amat tidak munasabah sebagai bekas Perdana Menteri pada masa material.

“Kerajaan berharap tun tidak terus bertindak mengelirukan rakyat dengan mengatakan beliau ‘keliru’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Riza didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram AS$248 juta (RM1.25 bilion) berkaitan penyelewangan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebelum ini, menerusi satu video yang dimuat naik dalam laman sosial beliau, Dr Mahathir menzahirkan rasa susah hati sebagai wakil rakyat.

Beliau mendakwa, walaupun bukan lagi menjadi kerajaan, namun beliau turut terbabit dalam pembentukan undang-undang selain berharap pelaksanaan undang-undang itu berkesan.

“Sebagai orang yang tak pandai tentang undang-undang, saya tertanya-tanya.

“Di masa depan, apabila ada penjenayah yang curi duit dan dihadapkan mahkamah, adakah dia dilepaskan apabila dia kata akan pulangkan balik duit yang dicuri?” soalnya.

Dalam masa yang sama, Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan beliau tidak bermaksud mempersoalkan kuasa dan integriti mahkamah.

“Saya tidak mempersoalkan tindakan hakim atau mahkamah, kerana saya yakin mahkamah bertindak mengikut undang-undang.

“Kalau benarlah ada undang-undang yang membenarkan penjenayah dibebaskan apabila dia memulangkan duit yang dicuri, mungkin kena pinda undang-undang itu,” katanya.

Pada Khamis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan kerajaan dijangka akan menerima semula aset-aset di luar negara berjumlah RM465.3 juta (AS$107.3 juta), berikutan keputusan Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan Riza.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close