Berita Utama

Pemimpin gagal kuasai bahasa Melayu tak nasionalis: Kok Seong

Bahasa Melayu merupakan satu daripada kepentingan negara

BANGI, 23 Ramadan 1441H, Sabtu – Wakil rakyat sama ada dari kerajaan mahupun pembangkang perlu mempamerkan sikap nasionalis yang tinggi dengan memiliki pengetahuan serta penguasaan terhadap bahasa Melayu.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, adalah sesuatu yang memalukan sekiranya wakil rakyat yang dianggap sebagai pemimpin di negara ini gagal menguasai salah satu daripada aspek yang menjadi kepentingan negara itu.

“Ini persoalan yang penting sebab mereka membawa imej nasional, sebagai pemimpin, wakil rakyat perlu memperlihatkan ada pengetahuan yang baik terhadap bahasa Melayu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Ditanya sama ada wajar atau tidak calon wakil rakyat menjalani ujian lisan dan penulisan bahasa Melayu, Kok Siong secara peribadi menyifatkan ia merupakan satu keperluan yang patut direalisasikan.

Katanya, seseorang wakil rakyat sekiranya gagal bertutur dengan fasih atau menulis dengan baik dalam bahasa Melayu boleh memberi imej tidak baik kepada negara.

“Wakil rakyat kerajaan atau pembangkang mewakili pemerintahan secara umumnya dan mereka membawa imej negara. Apabila bawa imej negara mereka perlulah mendukung kepentingan-kepentingan negara.

“Jadi jika mereka sendiri tidak fasih, imej itu macam negatiflah. Maksudnya satu kepentingan negara tidak dapat didukung oleh pemimpin negara kita,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Ikatan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (iPeguam), Muhammad Luttfi Abdul Khalid membidas kenyataan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming di Twitternya baru-baru ini yang didapati gagal menggunakan bahasa Melayu dengan betul.

Susulan itu, beliau berkata, tidak keterlaluan jika rakyat menuntut mana-mana individu yang mahu menjadi calon untuk sebarang pilihan raya lulus ujian lisan dan bertulis bahasa Melayu terlebih dahulu, khususnya dalam bentuk karangan serta pengucapan awam sehari sebelum penamaan calon.

Bahkan, katanya, wang deposit yang tinggi juga perlu diletakkan ke atas mana-mana individu yang berhasrat menjadi calon untuk mengambil ujian berkenaan.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close