Berita UtamaPendapat

Pendidikan bukan lahirkan manusia robot tapi watak dahagakan ilmu

Falsafah pendidikan berusaha kembang potensi secara seimbang

1. ALHAMDULILLAH, setiap tahun pada tarikh 16 Mei kita merayakan sambutan Hari Guru bagi menghargai warga guru di atas sumbangan dan pengorbanan mereka dalam mendidik anak bangsa.

2. Tahun ini kita merayakan Hari Guru dalam suasana dunia diancam pandemik Covid 19. Keadaan ini telah merubah kebiasaan kita meraikannya secara beramai-ramai kepada bentuk normal baharu yang berbeza dari sebelum ini.

3. Kesan Pandemik Covid 19 telah banyak mengubah landskap kehidupan kita tidak terkecuali dunia pendidikan.Tempias perubahan ini memberi kesan dari aspek pembelajaran Andragogi dan Pedagogi. Kajian Google menunjukkan para guru di Malaysia berada di kalangan 5 kelompok teratas aktif menggunakan aplikasi google classroom.

4. Justeru itu kita dapat melihat, para guru terus berusaha sepenuh jiwa raga dan memberikan komitmen tidak berbelah bagi sepanjang PKP untuk menyampaikan ilmu kepada anak-anak didik mereka walau di mana mereka berada, di desa dan bandar, di kampung atau pekan, dari utara hingga selatan, dari Perlis hingga ke Sabah demi kelangsungan ilmu meskipun berdepan dengan seribu satu macam rencam halangan.

5. Para guru telah menggunakan apa sahaja medium dan aplikasi digital serta berkejar-kejar mencari pelajar agar matlamat keilmuan dapat disampaikan supaya tidak ada yang ketinggalan dan keciciran.

6. iGuru ingin mengucapkan setinggi tahniah dan penghargaan kepada warga pendidik yang telah berusaha dan bekerja keras dalam menyampaikan ilmu. Mereka adalah obor penyuluh ilmu dan adiwira negara.

7. Tanpa semangat keguruan akan terbantut makna keilmuan. Keilmuan mesti berpaksikan semangat dahagakan ilmu dan bersedia meningkatkan ilmu baharu. Para guru sewajarnya melengkapkan diri dengan segala kompetensi dan meningkatkan kemahiran baharu untuk menghadapi dunia pendidikan yang bersifat digital.

8. Tugas mulia keilmuan ini, bakal membina generasi pelajar yang mencintai ilmu, mempunyai kompetensi meneroka sumber maklumat, memiliki keupayaan digital, literasi ICT,kemahiran menganalisa, kemahiran penyelesaian masalah dan membuat keputusan, menguruskan emosi dan membentuk paradigma belajar untuk hidup. (Learning For Life).

9. iGuru menyarankan pihak kerajaan agar dapat meningkatkan kualiti capaian internet di kawasan luar bandar dan pendalaman supaya proses keilmuan berterusan termasuk juga aspek fasiliti dan prasarana, kesediaan para guru, latihan yang efektif, jaminan kualiti sumber, bentuk pentaksiran yang holistik, kawalan harta intelek, kesedaran masyarakat dan sokongan institusi pendidikan yang telah menjalankan proses pembelajaran atas talian.

10. Pendidikan yang berorietasikan masa depan dalam naratif baharu ini, tidak lagi melahirkan manusia robot tetapi membina watak manusia yang dahagakan ilmu demi untuk kelangsungan hidup sejajar dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berusaha mengembangkan potensi individu secara seimbang untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara

Selamat Hari Guru
Berguru Demi Ilmu Bina Generasi Baharu

Mohd Azizee Hasan
Presiden iGuru

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close