Berita Utama

Rehal Wanita Mega Ramadan 2020 kemuncak program tadarus atas talian

Tadarus atas talian disertai hampir 4,500 wanita seluruh Malaysia

BANGI, 23 Ramadan 1441H, Sabtu – Meskipun kebanyakan aktiviti terhenti ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun ia tidak bermakna proses pembelajaran turut menerima tempias sama.

Tambahan pula, bulan Ramadan yang disambut umat Islam seluruh dunia ketika ini adalah sinonim dengan al-Quran.

Justeru, Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustazah Dr Suriani Sudi berkata, pihaknya telah menganjurkan program Rehal Wanita: Tilawah dan Tadarus atas talian yang dijalankan sepanjang bulan Ramadan.

Berkonsepkan tilawah dan tadarus atas talian, Ustazah Suriani berkata, program berkenaan telah membuka peluang kepada kaum wanita untuk memperdengarkan bacaan al-Quran masing-masing, untuk disemak bersama menerusi platform atas talian.

Katanya, program berkenaan telah disertai oleh hampir 4,500 wanita di seluruh Malaysia.

“Pandemik COVID-19 yang menguji umat Islam ketika ini amat mencabar kemeriahan Ramadan, di mana tiada lagi gema tilawah dan tadarus di surau dan masjid seperti biasa.

“Namun, berkat kecanggihan teknologi hari ini, aktiviti tilawah, tahsin al-Quran dan tadarus terus berjalan di medan maya melalui pelbagai aplikasi seperti video call, WhatsApp call, Zoom, Jitsi Meet dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Menurutnya, kemuncak kepada program Rehal Wanita: Tilawah dan Tadarus Atas Talian adalah program Rehal Wanita Mega Ramadan 2020, yang disiarkan di TV Pertiwi bagi meraikan penyertaan wanita seluruh Malaysia dalam program tadarus atas talian yang telah berjalan sejak awal Ramadan.

Katanya, ketua-ketua wanita ISMA dan wakil telah dipilih bagi mewakili cawangan masing-masing bagi menyertai kemuncak program berkenaan.

“Namun, hanya 18 cawangan yang dipilih memandangkan hanya 22 surah yang dibaca ketika program kemuncak ini berlangsung, manakala bakinya pula dibaca oleh Jawatankuasa Pusat ISMA,” jelasnya.

Orang ramai boleh menonton program Rehal Wanita Mega Ramadan 2020 secara Skype yang disiarkan di TV Pertiwi menerusi Facebook:
https://www.facebook.com/TvPertiwi/ dan YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCI9jqoDMwMr1wANfDafbtcA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button