Berita Utama

Sanusi angkat sumpah MB Kedah esok

Muhkriz bakal umum kedudukannya, PH-Bersatu

ALOR SETAR, 23 Ramadan 1441H, Sabtu – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dijangka mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah ke-14, esok.

Difahamkan, majlis angkat sumpah akan diadakan pada sebelah petang sebelum satu sidang media diadakan di Kompleks PAS Kedah.

Tinjauan pemberita di Wisma Darul Aman hari ini, mendapati, persiapan majlis angkat sumpah itu giat dilakukan kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah.

Selasa lalu, Perikatan Nasional (PN) Kedah mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu, selepas mendapat sokongan 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Muhammad Sanusi berkata, 23 ADUN terbabit adalah 15 daripada PAS, Bersatu (4), UMNO (2) dan dua bekas ADUN PKR.

Berikutan itu, komposisi DUN Kedah menyaksikan perubahan apabila PAS kini menguasai 15 kerusi, manakala PKR (5), AMANAH (4), Bersatu – Tan Sri Muhyiddin Yassin (4), Bersatu – Tun Dr Mahathir Mohamad (2), UMNO (2) dan BEBAS (2).

Sementara itu, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dijangka mengumumkan kedudukannya sebagai Menteri Besar Kedah pada sidang media di Wisma Darul Aman, Alor Setar, pagi esok.

Beliau difahamkan bakal membuat pengumuman mengenai kedudukan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) dengan Bersatu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close