Berita Utama

Tiada ADUN PH berpaling tadah sokong PN

Peroleh 2 pertiga sokongan, ADUN PN sahkan PAS bakal ketuai kerajaan baharu

ALOR SETAR, 23 Ramadan 1441H, Sabtu – Tiada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) yang belot atau berpaling tadah menyokong Perikatan Nasional (PN), kata ADUN PH yang enggan namanya didedahkan.

Perkara berkenaan timbul ketika kesemua 36 ADUN mengadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah untuk menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, semalam.

Memetik laporan Sinar Harian, ADUN PH berkenaan menegaskan bahawa ketika sesi undian terbabit, PH masih kekal denga 13 sokongan, iaitu lima dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amanah (4), DAP (2), serta dua dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Tidak benar terdapat dua ADUN belot dan nyatakan sokongan kepada PN, namun kami tidak boleh dedahkan butiran, saya hanya boleh sahkan ia tidak berlaku,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan kononnya jumlah yang menyokong PN bertambah kepada 25 sokongan ketika sesi mengadap Tuanku Sultan, berbanding jumlah asal diperoleh PN, sebanyak 23 sokongan.

Sebelum ini, PN memperoleh sokongan 23 ADUN, iaitu 15 daripada Pas, BN (2), bebas yang juga bekas ADUN PKR (2) serta empat dari Bersatu.

Sementara itu, seorang ADUN PN mengesahkan bahawa PAS dijangka mengetuai pembentukan kerajaan baharu apabila memperoleh dua pertiga majoriti sokongan ADUN.

Katanya, kedudukan gabungan itu kini kukuh dan tidak lagi tergugat sekiranya berlaku penarikan sokongan di saat akhir.

“Semuanya sudah selesai, jumlah sokongan hanya Tuanku Sultan sahaja yang tahu.

Kita hanya menunggu masa berlakunya peralihan kuasa pentadbiran secara rasmi dan mengikut prosedur,” katanya.

Semalam, sesi mengadap Sultan Kedah diadakan di Wisma Darul Aman, dimulai dengan 23 ADUN dari PN pada sesi pagi, manakala 13 ADUN PH pada sesi petang.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close