Berita Utama

1,237 maut di AS dalam tempoh 24 jam

Kematian cecah 15,633, Presiden Brazil masih pandang remeh kes COVID-19

WASHINGTON, 24 Ramadan 1441H, Ahad – Sebanyak 1,237 kematian baharu akibat COVID-19 dicatatkan di Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh 24 jam.

Menurut laporan Johns Hopkins University, jumlah kematian keseluruhan negara berkenaan kini mencecah 88,730

Pada masa sama, AS yang menjadi negara paling teruk dilanda wabak dari segi jumlah kematian, turut merekodkan seramai 339,232 mangsa telah pulih, manakala sebanyak 1,446,924 kes telah direkodkan setakat ini.

Sementara itu, Brazil mencatatkan kematian melebihi 15,000 orang akibat COVID-19, semalam.

Selain itu, jumlah mereka yang dijangkiti virus berkenaan kini melebihi 230,000 orang, sekaligus menjadikan Brazil sebagai negara kelima paling terjejas.

Setakat ini, angka korban seluruh dunia akibat wabak berkenaan hampir mencecah 310,000 orang.

Presiden Brazil, Jair Bolsonaro masih memandang remeh terhadap ancaman virus berkenaan selain menyifatkannya sebagai ‘masalah selsema kecil, meskipun angka korban negara itu mencapai 15,633 dan 233,142 jangkitan telah disahkan.

Brazil juga kini menjadi pusat jangkitan wabak itu di Amerika Latin.

Bukan itu sahaja, Chile kini melaksanakan perintah berkurung yang ketat di ibu negaranya, Santiago, susulan peningkatan mendadak kes COVID-19 di negara berkenaan.

Orang ramai pula hanya dibenarkan keluar bagi membeli makanan dan ubat-ubatan, manakala riadah pula dibenarkan bagi tempoh singkat

Rabu lalu, Chile bersedia untuk melonggarkan perintah berkurung berikutan kadar jangkitan yang semakin mendatar apabila hanya mencatatkan antara 350 dan 500 kes sehari.

Bagaimanapun, kadar jangkitan meningkat dua kali ganda dalam tempoh 10 hari lalu, iaitu purata 1,000 kes sehari pada bulan lalu, meningkat kepada purata lebih 2,000 kes sehari.

Chile mencatatkan 41,428 kes jangkitan semalam selain 421 kematian, dengan 27 daripadanya berlaku dalam tempoh 24 jam. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close