Berita UtamaIstimewa

Cabar kesahan PKP: Vui Keong kehabisan modal politik?

Adakah PKP tak dikuatkuasakan sekiranya PH masih memerintah?

BANGI, 24 Ramadan 1441H, Ahad – Cadangan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong untuk membawa soal keabsahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilakukan pihak kerajaan bagi melawan wabak COVID-19 disifatkan sebagai usaha mengarut.

Bahkan tindakan sedemikian juga dilihat terdesak dan kehabisan modal berpolitik sahaja, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya.

Beliau menegaskan bahawa PKP yang diamalkan oleh Malaysia telah terbukti berjaya dan dipuji oleh negara lain dan pihak komuniti antarabangsa, terutamanya apabila Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sendiri mendapat pengiktirafan yang sangat membanggakan.

“Kini, hasil daripada penguatkuasaan PKP, jumlah kes aktif dan pertambahan kes baharu sudah semakin rendah dan jumlah yang pulih dari wabak ini sudah pun melebihi jumlah kes.

“Malah, perniagaan-perniagaan sudah mula dibuka dan berjalan secara berperingkat serta bantuan-bantuan seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan geran-geran sudah atau sedang diagihkan.

“Maka, apa sebenarnya motif beliau untuk mencabar keabsahan PKP ini di mahkamah? Apakah sebenarnya beliau mahu Malaysia menjadi seperti Amerika Syarikat yang sudah mencecah sejuta kes positif?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Haji Aminuddin turut mempersoalkan sama ada dasar PKP tidak akan dikuatkuasakan sekiranya Pakatan Harapan (PH) masih memerintah.

“Apa solusi mereka untuk mengekang penularan wabak ini? Atau adakah mereka tidak kisah pun soal nyawa rakyat?

“Berpada-padalah apabila mahu berpolitik. Bukannya segala-galanya perlu dibangkang dan dijadikan isu. Malah, dengan pelakuan sebeginilah yang menyebabkan rakyat semakin meluat dengan para politikus yang hanya mementingkan pengaruh dan kekuasaan politik sahaja,” katanya.

Sebelum ini, Vui Keong mempersoalkan kesahan PKP susulan tidak dapat menemui COVID-19 disenaraikan sebagai penyakit berjangkit yang dijadualkan.

Kajiannya terhadap Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit menunjukkan ia ‘sangat tidak jelas’ sama ada kerajaan sudah mentakrifkan COVID-19 sebagai penyakit berjangkit dalam jadual itu.

“Saya rasa ia (PKP) tidak sah dan ini adalah sesuatu yang saya mahu bawa ke mahkamah untuk meminta mereka menentukan sama ada ia sah. Saya memeriksa di laman web Jabatan Peguam Negara sama ada mereka telah mewartakannya (COVID-19) dan saya tidak rasa mereka melakukannya.

“Sekiranya COVID-19 tidak termasuk dalam jadual, bagaimana anda boleh menggunakannya sebagai alasan untuk menghalang kami daripada bersidang di Parlimen? Ada banyak yang perlu dijawab oleh kerajaan ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button