Berita Utama

Dewan Rakyat: Tiada isu Parlimen terbubar

Mahkamah tidak semestinya akan cabar keputusan Parlimen

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 24 Ramadan 1441H, Ahad – Tiada isu Perlembagaan boleh ditimbulkan ketika persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei ini.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, sekiranya tiada sebarang sidang Parlimen diadakan dalam tempoh melebihi enam bulan, maka Parlimen boleh dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Namun, katanya, tarikh persidangan itu yang juga jatuh pada Isnin ini masih tidak melebihi tempoh enam bulan sejak kali terakhir ia diadakan pada 5 Disember tahun lalu.

“Sidang pada 18 Mei ialah dalam bentuk titah perasmian Yang di-Pertuan Agong sahaja.

“Tidak semestinya perlu ada bahas dan pembentangan usul. Ia tetap satu sidang Parlimen,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal yang juga penganalisis politik berkata, meskipun sidang Dewan Rakyat selama sehari hanya untuk mendengar titah diraja tanpa sebarang perbahasan boleh dicabar di mahkamah, namun tidak semestinya mahkamah akan mencabar keputusan Parlimen.

“Semasa kes di Perak pada 2009, mahkamah rayuan telah memutuskan ia akan campur tangan peraturan-peraturan sidang Parlimen, “ katanya.

Kesahihan sidang Dewan Rakyat selama satu hari yang telah disingkatkan dengan agenda hanya untuk mendengar titah diraja tanpa sebarang perbahasan boleh dicabar di mahkamah, kata peguam Haniff Khatri Abdulla.

Dalam satu tulisan di Facebooknya, Haniff berkata, kali terakhir Parlimen bersidang pada 5 Disember tahun lalu dan sidang berikutnya perlu diadakan dalam tempoh enam bulan yang mana tarikh akhirnya pada 5 Jun seperti peraturan Dewan Rakyat.

“Persidangan Dewan Rakyat yang dimaksudkan di dalam Perlembagaan Persekutuan semestinyalah satu persidangan sebenar melibatkan perbahasan dan persoalan serta jawaban oleh ahli-ahli Dewan Rakyat yang dipilih semasa PRU-14 yang berjumlah 222 orang itu

“Maka, dengan cuma adanya pembentangan ‘Titah Diraja’ oleh kebawah duli Yang di-Pertuan Agong, tanpa ia dibahaskan oleh mana-mana ahli Dewan Rakyat langsung, boleh membawa maksud, sekiranya dicabar di mahkamah, bahawa tiada mana-mana persidangan Dewan Rakyat yang sebenar yang berlaku pada 18 Mei itu kelak.

“Dan ini akan mendedahkan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Mohd Yusof kepada risiko ketiadaan pengadaan apa-apa persidangan Dewan Rakyat yang sah dalam tempoh enam bulan selepas tarikh 5 Disember 2019 itu,” katanya.

Pada masa sama, Haniff memetik bahawa di bawah undang-undang negara, kegagalan mengadakan persidangan Dewan Rakyat dalam tempoh enam bulan akan mengakibatkan pembubaran Parlimen ke-14 secara automatik.

“Ini akan membuat negara berisiko terpaksa mengadakan pilihan raya umum ke-15 segera setelah itu, walaupun kita belum sepenuhnya keluar dari situasi Covid-19.”

“Dewan Rakyat pada awalnya dijadualkan bersidang pada 9 Mac untuk sesi pertamanya tahun ini, tetapi tarikhnya ditangguhkan setelah Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri selepas krisis politik “Langkah Sheraton,” katanya.

Bulan lalu, Dewan Rakyat mengeluarkan notis lain bahawa persidangan yang telah dijadualkan semula pada 18 Mei ini, hanya akan diadakan selama satu hari kerana negara masih terkesan dengan Covid-19.

Sebelum ini, persidangan dijadualkan berlangsung selama 15 hari antara 18 Mei dan 23 Jun.

Bagaimanapun sidang Parlimen disingkatkan dan hanya mempunyai satu agenda iaitu titah diraja pada pembukaan sidang oleh Yang di-Pertuan Agong.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button