Berita Utama

Lambakan PATI: Rakyat perlu buang sikap ‘lantaklah’

Perlu ambil tanggungjawab salur maklumat tanpa rasa takut

BANGI, 24 Ramadan 1441H, Ahad – Usaha membanteras sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) bakal berdepan tugas sukar sekiranya rakyat tidak memberi kerjasama menyalurkan maklumat tepat kepada pihak berkuasa.

Presiden Kelab Veteran Komando Malaysia, Sani Osman berkata, rakyat perlu membuang sikap ‘lantaklah’ dalam diri mereka dan sedar akan kesan buruk kemasukan PATI kepada anak cucu pada masa hadapan.

Mereka juga, katanya lagi, harus memberanikan diri melaporkan perkara yang berlaku di depan mata dan membuang rasa takut diburu sindiket kerana keselamatan pelapor akan dijamin kerajaan.

“Nak gempur benda ini tengoklah sahaja keluasan pesisir pantai negara kita, besar, jadi lokasi yang strategik mereka tahu di mana, kita nak banteras tokan-tokan ini semua memang agak payah.

“Tetapi, itu tidak mustahil sekiranya kita sama-sama main peranan, rakyat itu sendiri perlu menjadi mata dan telinga kepada pasukan keselamatan.

“Nelayan kita mereka ada di laut, mereka tahu pergerakan (keluar masuk PATI) ini. Cuma kadang-kadang ada sikap ‘lantaklah’ itu bukan masalah aku, itu tanggungjawab pihak berkuasa menyebabkan isu ini sukar dibanteras,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Mengulas lanjut, Sani berpendapat, hukuman ringan yang dikenakan terhadap pesalah menjadi salah satu sebab mengapa sindiket tidak pernah serik menjalankan aktiviti terkutuk itu.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan bertindak agresif dengan mengubal perundangan baharu yang mengenakan hukuman penjara lebih lama atau denda berlipat kali ganda bagi menimbulkan gerun dalam kalangan pesalah yang masih bebas di luar sana.

“Mungkin yang pertama kita bagi dua tahun (penjara), kalau kena sekali lagi ada rekod mungkin akan lebih pada itu. (Kesalahan ini) tak perlu bagi jaminan, terus masukkan ke dalam penjara, ini melibatkan keselamatan negara,” katanya.

Terdahulu, penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim mendakwa, masalah lambakan PATI di negara ini tidak akan selesai selagi individu ‘halimunan’ masih bergerak bebas di luar sana.

Dakwanya, individu yang dimaksudkan adalah rakyat Malaysia sendiri yang menjadi pelindung, pemberi makan, penyewa rumah malah sesiapa sahaja terlibat dalam mengatur pergerakan keluar masuk PATI ke negara ini.

Sebelum ini, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerajaan telah menyerbu banyak kawasan yang menjadi lokasi pelindungan PATI di negara ini.

Terbaharu, seramai 113 PATI ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) selepas menyerbu penempatan warga asing di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selayang Baru.

Semalam, kawasan sepanjang pantai Ulu Sedili hingga Sungai Johor dikesan sebagai titik panas pendaratan PATI di Johor.

Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Nazir Mami berkata, dianggarkan 60 hingga 70 peratus kawasan berkenaan dilihat berpotensi sebagai kawasan pendaratan.

Artikel berkaitan

One Comment

  1. Rukun Negara Malaysia wajar di praktikkan oleh semua Bangsa Malaysia. Tujuan nya dapat memupuk kesetian kepada Bumi Malaysia dari kecil lagi. Apabila dah dewasa masih tidak berbelah bahagi demi kecintaan kepada rakyat Malaysia dan juga di bumi Malaysia yang dilahirkan sebagai warganegara nya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close