Berita Utama

Lebih 250 seniman antarabangsa gesa Israel henti kepung Gaza

Tindakan Zionis beri kesan lebih buruk selepas wabak COVID-19

GAZA, 24 Ramadan 1441H, Ahad – Lebih daripada 250 artis dan penulis antarabangsa menggesa Israel untuk menghentikan pengepungan ke atas Gaza.

Para seniman berkenaan mendakwa, tindakan berkenaan akan memberi kesan lebih buruk di wilayah berkenaan akibat wabak pandemik COVID-19.

Menerusi tulisan dalam sepucuk surat, artis berkenaan termasuk penyanyi rock, Peter Gabrel, pengarah Ken Loach dan pelakon Viggo Mortensen berkata, penjagaan kesihatan penduduk Gaza sememangnya telah terancam sebelum kewujudan COVID-19.

Dalam tulisan sama, mereka berkata, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini turut meramalkan bahawa wilayah yang diduduki itu tidak dapat dilalui pada tahun ini.

“Dengan pandemik ini, hampir dua juta penduduk Gaza, yang kebanyakannya menjadi pelarian telah menerima ancaman hebat di ‘penjara’ terbuka terbesar di dunia.

“Malah, sebelum wabak muncul, kebanyakan hospital di Gaza dalam keadaan ‘tenat’ kerana kekurangan peralatan perubatan akibat penjajahan Israel. Peralatan perubatan yang sedia ada tidak mencukupi untuk menampung jumlah warga Palestin yang cedera akibat serangan Israel.

“Tambahan pula, laporan mengenai kes pertama COVID-19 di Gaza yang mempunyai kepadatan penduduk menyukarkan lagi keadaan. Kami menyokong seruan Amnesty International yang mendesak kesemua pemerintah dunia mengenakan embargo ketenteraan kepada Israel sehingga mereka mematuhi undang-undang antarabangsa,” kata kenyataan itu.

Kenyataan surat itu turut dipersetujui dan ditandatangani oleh penyair Taha Adnan, penulis Kanada iaitu Naomi Klein dan sebuah kumpulan dari British, Massive Attack.

Semenanjung Gaza telah berada di bawah sekatan rejim pengganas Israel sejak 2007 apabila kumpulan Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) menguasai wilayah berkenaan.

Sejak daripada itu, Hamas dan Israel bertempur dalam tiga perang, namun gencatan senjata telah dimeterai pada akhir tahun 2018 dan diperbaharui pada tahun lalu. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close