Berita Utama

Muhyiddin ‘tumbang’ jika 3 wakil rakyat ubah sokongan?

COVID-19 rahmat bagi Muhyiddin memperkuatkan sekutu politik

BANGI, 24 Ramadan 1441H, Ahad – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa boleh dijatuhkan pada bila-bila masa melalui perubahan sokongan tiga orang wakil rakyat.

Presiden Angkatan Karyawan Negara (Akar), Ab Jalil Backer membangkitkan perkara itu apabila Muhyiddin yang mengangkat sumpah dengan sokongan majoriti 114 Ahli Parlimen, hanya mempunyai lebih dua wakil rakyat daripada majoriti mudah 112.

“Malah, jika berdasarkan khabar angin, ada wakil rakyat yang menandatangani lebih daripada satu akuan bersumpah pada Februari lalu, maka kedudukan kerajaan ini benar-benar di hujung tanduk,” dakwanya dalam tulisan di Sinar Harian hari ini.

Pada masa sama, Ab Jalil mendakwa, kewujudan pandemik COVID-19 yang melanda negara dan seluruh dunia ketika ini telah menyelamatkan Muhyiddin buat sementara waktu.

Dakwanya, musibah berkenaan menyebabkan fokus kerajaan serta rakyat tertumpu untuk menyelamatkan nyawa manusia dan ekonomi negara.

Malah, dakwanya lagi, pandemik itu turut menjustifikasi penangguhan dan penyingkatan sidang Dewan Rakyat.

“Penyingkatan sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei nanti juga bukan penyelesaian kepada kemelut politik, tetapi sekadar masa tambahan kepada Muhyiddin mencaturkan masa pertahanan beliau.

“COVID-19 menjadi satu rahmat terselindung bagi membolehkan Muhyiddin memperkuatkan sekutu politik dan mengurangkan musuh,” dakwanya.

Ab Jalil mendakwa, selain takdir Allah SWT, kestabilan kerajaan Perikatan Nasional (PN) turut bergantung kepada kebijaksanaan dan keikhlasan Perdana Menteri dalam menyusun bidak-bidak di atas papan catur politiknya.

Jelasnya, Muhyiddin mempunyai kelebihan ‘bargaining power’ atau kuasa tawar-menawar, bagi menarik sokongan Ahli Parlimen sekali gus memperkukuhkan kerajaan.

Selain pelantikan Kabinet, dakwanya, jawatan di syarikat berkaitan kerajaan dan agensi utama turut akan digunakan bagi menstabilkan kerajaan diterajui Muhyiddin.

“Bagaimanapun, bukan semua orang terpengaruh dengan tawar-menawar politik ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan misalnya telah menolak lantikan dalam syarikat berkaitan kerajaan.

“Mohamad bukanlah Ahli Parlimen, justeru penolakan itu tidak menjejaskan kedudukan Muhyiddin secara langsung.

“Namun, ia turut memberi isyarat jelas bahawa jalan untuk Muhyiddin masih berliku,” dakwanya lagi.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close